gambar sebelum  gambar berikut
Foto

ANGGOTA polis membawa bahan bukti kes tembak Aminulrasyid di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam.

Foto

Aminulrasyid Amzah

SHAH ALAM: Kereta Proton Iswara putih dipandu Aminulrasyid Amzah, 15, remaja yang ditembak mati polis di sini, April lalu, mempunyai sekurang-kurangnya 10 kesan tembakan.

Kesan tembakan ditemui di lampu isyarat belakang kereta, pada nombor plat, bumper kiri belakang, lampu kecil bahagian belakang kiri kereta, bahagian bawah but, bahagian bawah sebelah kiri tangki minyak, sebelah kanan penutup but, bahagian ekzos, rim dan tayar kanan belakang kereta.
Mahkamah Sesyen yang mendengar keterangan saksi pada hari pertama perbicaraan kes kematian Aminulrasyid di sini, semalam juga diberitahu jurufoto polis turut merakam gambar 19 kelongsong dan anak peluru di beberapa tempat berkaitan kematian remaja itu.

Mahkamah Sesyen juga diberitahu semua gambar itu dirakam jurufoto dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor antara 26 April iaitu hari kejadian hingga 4 Mei lalu membabitkan beberapa lokasi di Seksyen 11, Shah Alam.

Saksi pendakwaan kedua, detektif Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) IPD Klang Selatan, Lans Koperal Ahmad Zamzami Abdul Wahab, berkata ketika kejadian beliau yang bertugas sebagai jurufoto di IPD Shah Alam, merakam 41 keping gambar di tempat kejadian, kenderaan mangsa serta mangsa tembak di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, pada 26 April lalu.

Katanya, beliau turut mengambil gambar sebilah parang yang dijumpai di bawah tempat duduk penumpang kereta itu.

Ahmad Zamzami memberi keterangan di hadapan Hakim Latifah Mohd Taha. Anggota peronda, Koperal Jenain Subi, 48, yang bertugas di IPD Shah Alam didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, menyebabkan kematian Aminulrasyid, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini, jam 1.10 pagi, 26 April lalu.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Adilla Ahmad, Ahmad Zamzani berkata, beliau merakamkan gambar di tempat kejadian selepas bukti ditandakan anggota Unit Forensik IPK Selangor.

Menjawab soalan peguam bela M Athimulan mengenai keadaan tempat kejadian pada malam itu, Ahmad Zamzani berkata, walaupun ada lampu jalan di kawasan itu, jaraknya jauh dari tempat kejadian.

Saksi pendakwa ketiga, jurufoto di IPD Shah Alam, Lans Koperal Saifulizam Abdul Hamid, memberitahu mahkamah, pada hari kejadian beliau diminta pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Ahmad Fauzi Mohamed Zin ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk merakam gambar bedah siasat.

Katanya, ketika di Jabatan Forensik hospital itu, beliau diminta oleh Ahmad Fauzi dan doktor bertugas untuk merakamkan kecederaan di kepala mangsa.

Sementara itu, jurufoto dari Unit Forensik IPK Selangor, Koperal Mokhtar Hussin, berkata, beliau merakamkan 81 gambar di tempat kejadian bermula dari Bulatan Kayangan hingga ke lokasi kereta Proton Iswara putih itu terbabas selepas ditembak di Jalan Tarian 11/2.

Antara gambar dirakam, termasuk 19 gambar kelongsong peluru dan anak peluru yang diambil bermula dari kawasan Bulatan Kayangan hingga ke Jalan Tarian 11/2.

"Pada 26 April, saya merakam gambar satu kelongsong peluru, kira-kira jam 11 pada 28 April saya merakam gambar satu lagi kelongsong peluru, manakala gambar 17 kelongsong lagi dirakam kira-kira jam 3 petang sama di Bulatan Kayangan," katanya.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Duzuki Mokhtar manakala pembelaan turut dibantu peguam Salim Bashir. Perbicaraan bersambung hari ini.