Maran: Kertas siasatan kes kematian kanak-kanak berusia tiga tahun dipercayai lemas selepas hampir sembilan jam ditinggalkan dalam kereta di Indera Mahkota, pada 2 Januari lalu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, dalam masa terdekat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata pihaknya dalam peringkat akhir untuk melengkapkan kertas siasatan berkenaan.
Ambil keterangan ibu bapa


“Kita sudah mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Akta Kanak-Kanak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Khamis lalu, Muhammad Arif Mohd Yusof dipercayai lemas selepas ditinggalkan hampir sembilan jam dalam kenderaan kereta Toyota Avanza dipandu bapanya.

Mangsa dikatakan tertidur di tempat duduk belakang kenderaan terbabit dan bapa mangsa yang berusia 41 tahun dikatakan terlupa menghantar mangsa ke taska di Indera Mahkota.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan kematian akibat kelemasan atau kelaparan melampau dialami mangsa.
Selain itu, Mohd Zakaria berkata, pihaknya masih menjejaki suspek yang menembak mati anggota polis yang juga bekas komando, Koperal Abd Halim Md Ali, 48, di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP), Padang Jaya, Jaya Gading di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian itu, Abdul Halim menyertai operasi cegah jenayah bersama Ketua Polis Balai Jaya Gading dan dua anggota lain di kawasan ladang dengan menunggang motosikal, kira-kira jam 4 petang.