DrdiBM
Kesan bedah fibroid
Jawapan disediakan; Dr Suhaimi Isa, Pakar Runding Perbidanan & Sakit Puan Hospital Pantai Ampang.
bminggu@bharian.com.my
2010/09/26
Haid lewat akibat tekanan ketika dan selepas pembedahan
Soalan:
Untuk pengetahuan doktor, saya baru membuat pembedahan fibroid pada Julai lalu. Selepas pembedahan itu, selama 40 hari saya tidak didatangi haid, kemudian haid datang semula.
Bagaimanapun, haid itu berpanjangan sehingga berbelas-belas hari lamanya. Saya merujuk doktor di hospital kerajaan dan doktor berkenaan mengatakan sampel fibroid itu bukan kanser. Doktor memberikan saya ponstan dan sejenis asid 'transxemanic acid' untuk menghentikan haid. Kini haid berhenti tetapi saya gusar apakah haid berpanjangan itu menunjukkan masih ada lagi fibroid atau kemungkinan disebabkan perubahan hormon?
LIZA
Jawapan:
Puan Liza, saya berpendapat ada berlakunya perubahan hormon selepas pembedahan fibroid. Kerap juga, selepas pembedahan besar akan menyebabkan haid lewat datang. Ini berpunca daripada tekanan semasa dan selepas pembedahan.
Haid yang datang lewat ini selalunya banyak daripada biasa dan kadangkala berketul-ketul dan panjang tempohnya. Apa yang sudah puan lakukan berjumpa dengan dengan doktor adalah wajar dan masalah puan dapat di atasi dengan ponstan dan transxenamic acid. Perdarahan seperti itu bukannya berpunca dari fibroid kerana ia lazimnya tidak memberi apa-apa masalah.
Bagi bulan-bulan yang berikutnya, berkemungkinan besar haid akan kembali seperti biasa dan mungkin juga berpanjangan. Apa yang saya cadangkan, puan simpan sedikit ubat ponstan dan transxenamic acid ini untuk sebulan dua. Jika perdarahan ini berlaku kembali, ambillah ubat-ubat ini selama empat hingga lima hari.
Sekiranya perdarahan ini berlaku lagi dan tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan tadi, puan perlu berjumpa semula dengan doktor. Apapun, puan tidak perlu khuatir mengenai perkara ini.
Jawapan disediakan; Dr Suhaimi Isa, Pakar Runding Perbidanan & Sakit Puan
Hospital Pantai Ampang.
Info
Bagi anda yang memiliki kemusykilan mengenai kesihatan, sila hantarkan soalan kepada Doktor di Berita Minggu melalui e-mel, bminggu@bharian.com.my atau melalui pos di alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Bangsar, Kuala Lumpur. Soalan anda akan dijawab Dr Suhaimi Isa, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pantai Ampang.