Kuala Lumpur: Kerajaan Sweden memberi jaminan akan membebaskan segera pasangan Malaysia yang ditahan di penjara negara itu jika tiada pertuduhan selepas tamat tempoh reman, 30 Januari ini.

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat, berkata jaminan itu diberikan dalam perbincangan antara wakil Kedutaan Sweden, kerajaan dan SukaGuam, semalam.
Katanya, SukaGuam dan Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO akan berlepas ke negara berkenaan minggu depan sekiranya persetujuan itu tidak dilaksanakan.


“Ia termasuk memindahkan segera empat anak pasangan terbabit dijaga keluarga angkat berlainan agama.

Perlu segera dibebaskan

“Selain itu, pembebasan pasangan itu perlu disegerakan jika tiada pertuduhan sehingga tamat tempoh reman mereka,” katanya kepada BH, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalludin, kakitangan Tourism Malaysia di Stockholm dan isterinya, Shalwati Nurshal, seorang guru yang mengambil cuti, ditahan pihak berkuasa Sweden kerana memukul seorang anak mereka kerana tidak menunaikan solat.

Berikutan itu, empat anak pasangan itu berusia antara tujuh hingga 14 tahun diserahkan kepada keluarga angkat bukan Islam, tetapi mereka mengadu tidak selesa.

Khairul Anwar berkata, SukaGuam diminta membantu Wisma Putra dari aspek perundangan bagi menyelesaikan kemelut itu.

Beliau berkata, pihak berkuasa Sweden berpendapat isu itu tidak wajar menjadi polemik sehingga menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara.

Katanya, SukaGuam terkilan dengan layanan terhadap anak pasangan itu dan mahu Sweden mempercepatkan pemindahan mereka kepada keluarga Islam atau menyerahkan kepada Kedutaan Malaysia di sana.