Kes tuntutan Ketua Pemuda MCA selesai luar mahkamah

Kes tuntutan Ketua Pemuda MCA selesai luar mahkamah

2013/07/03

Kuala Lumpur: Kes tuntutan saman malu Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong terhadap Tan Sri Robert Phang berhubung kenyataan mengenai projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), diselesaikan di luar mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, merekodkan penyelesaian itu dalam kamar di sini, semalam yang turut dihadiri peguam Ka Siong, Datuk Ben Chan, dan S N Nair bagi pihak Phang.

Nair ketika ditemui berkata, melalui persetujuan yang direkodkan mahkamah itu, kedua-dua pihak tidak boleh memfailkan semula kes tuntutan saman berkenaan dan tiada sebarang pengakuan berhubung liabiliti.

Tiada perintah berhubung kos

Katanya, mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.

Ka Siong memfailkan saman itu pada 9 Februari 2010 dengan menamakan Phang yang juga anggota Jawatankuasa Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu sebagai defendan, berhubung empat artikel yang disiarkan dalam akhbar harian berbahasa Inggeris di antara 25 Disember 2009 dan 12 Januari 2010.

Dalam pernyataan tuntutannya Ka Siong berkata, artikel itu jika difahami membawa maksud beliau terbabit melakukan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Selain menuntut ganti rugi daripada Phang, plaintif juga memohon perintah mahkamah bagi menghalang defendan daripada terus menggelarkan dirinya sebagai pembuli, pengecut dan pembohong.

Phang dalam pernyataan pembelaannya berkata, kenyataan yang dikeluarkannya adalah satu komen yang adil dan dibuat berdasarkan perlindungan bersyarat.