SANTOS memberi arahan kepada pemain ketika sesi latihan menjelang saingan suku akhir menentang Jerman.
GDANSK: Jurulatih Greece, Fernando Santos menggesa pemainnya supaya fokus terhadap perlawanan suku akhir bertemu Jerman, awal pagi esok berbanding ketegangan politik di negara mereka.
“Lihat, situasi ini cukup menjejaskan kami,” kata Santos.
“Pemain mempunyai keluarga, mereka ada kawan dan risau mengenai apa yang bakal berlaku. Saya boleh katakan yang Greece bukan saja berdepan krisis politik atau ekonomi.
“Malah, kini terdapat krisis sosial apabila kadar pengangguran tinggi. Pemain juga manusia biasa dan mereka tetap ada perasan. Apa yang saya mahu mereka lakukan, cuba lupakan segala masalah itu apabila turun beraksi.
“Fokus hanya kepada bola sepak untuk membuktikan yang mereka adalah pejuang sebenar,” katanya.
Sejurus Greece mara ke suku akhir selepas menewaskan Russia 1-0, sehari sebelum pilihan raya di Greece yang menyaksikan kemenangan tipis parti pro-Euro Demokrasi Baru, akhbar Greece mula mengaitkan pertembungan dengan Jerman dan hubungan tegang kedua-dua negara, selain kegawatan ekonomi negara itu.
Namun Santos menasihat anak buahnya supaya mengekalkan tahap emosi mereka apabila berdepan Jerman nanti.
“Mereka sepatutnya mendapat motivasi tambahan dan lebih ghairah untuk perlawanan menentang Jerman, tetapi jangan hilang fokus. Kena guna akal fikiran. Jika ikut hati dan emosi, kami dalam bahaya,” kata Santos. – Agensi