Keunikan orang kerdil Bridgette dan Brad diiktiraf sebagai pasangan adik-beradik paling kerdil di dunia.
Sarjan Aisha Al Hamoudi, 31, yang menyertai pasukan polis timur Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengakui tidak pernah malu dianggap orang kerdil kerana memiliki ketinggian 87 sentimeter.

Wanita ini pada hakikatnya, bangga dengan keadaan fizikal tubuhnya dan menjadikan dirinya popular di mata dunia. Aisha bercadang namanya dimasukkan dalam Guiness Book of World Records sebagai anggota polis wanita paling pendek di dunia.
Perwatakan Aisha wajar dipuji kerana tidak pernah rasa rendah diri. Bagaimanapun, mungkin ramai orang kerdil, di seluruh dunia mempunyai dilema tertentu kerana memiliki fizikal sebegitu, selain sesetengahnya tersisih.

Namun, orang kerdil ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Jika pada era filem hitam putih hingga ke filem tiga dimensi, mereka dianggap penyeri dalam industri berkenaan.

Mengikut Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia, memiliki ketinggian kurang daripada 140 sentimeter. Kira-kira 2,000 orang kerdil berdaftar dengan persatuan itu yang terdiri daripada berbilang kaum.

Daripada jumlah itu 48 peratus lelaki dan 52 peratus wanita. Mereka juga dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).

50 peratus genetik
Perunding Kanak-Kanak dan Pakar Genetik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Prof Dr Zilfalil Alwi, berkata antara punca kerdil ialah akibat penyakit genetik dikenali Achondroplasia iaitu kewujudan satu gen yang tidak normal pada individu.

Katanya, kes membabitkan gen itu hanya berlaku kepada orang kerdil yang mempunyai penyakit genetik yang mengakibatkan tumbesaran terbantut dengan mencapai ketinggian kurang daripada 147 sentimeter (sm).

Achondroplasia berpunca daripada 'ketidakabnormalan (mutasi)' pada gen yang dikenali sebagai 'FGFR3 Gene'. Umumnya setiap gen mempunyai dua salinan. Andai salah satu daripada salinan diwarisi menerusi ibu atau bapa itu tidak normal (mutasi), anak yang dilahirkan akan menghidapi penyakit berkenaan, katanya baru-baru ini.

Kerdil bukan berpunca daripada kenan atau masalah pemakanan dan orang ramai tidak seharusnya tidak seharusnya mudah memberikan penilaian mengikut kepercayaan masing-masing tanpa bukit daripada sudut saintifik.

Katanya, ciri-ciri gen FGFR3 yang ada pada ibu atau ayah mempengaruhi hingga 50 peratus peluang untuk mendapat anak kerdil.

Sekiranya susur galur keturunan ibu atau bapa ada yang kerdil maka bila pasangan itu berkahwin peluang mendapat anak kerdil adalah 50 peratus.

Jejak kandungan kerdil

Dr Zilfalil, berkata imbasan kandungan digunakan untuk menjejaki kandungan kerdil terutama jika pasangan itu ada sejarah melahirkan anak kerdil sebelum ini.

Kekerdilan boleh dikesan sejak awal kelahiran, iaitu mana diagnosis membabitkan pemeriksaan sinar X ke atas tulang bayi, katanya.

Mengulas mengenai kebolehan dan kebijaksanaan golongan itu, katanya, meskipun anak ini terbantut dari segi fizikal, tetapi ia tidak menjejaskan perkembangan mental dan emosi.

Bagaimanapun, pembesaran terbantut menyebabkan majoriti orang kerdil berhadapan masalah kebolehan berjalan dan duduk selain mudah mendapat masalah pernafasan di sebabkan dadanya yang kecil. Selain kemungkinan menghadapi masalah tulang belakang bengkok (skoliosis) dan kaki bengkok.

Normal kerdil

Sungguhpun kerdil berpunca daripada genetik, ada kes orang normal menjadi kerdil apabila dilahirkan. Ia boleh jadi berpunca daripada kelenjar pituitari tidak merembeskan hormon berkaitan dengan perkembangan fizikal individu. Organ utama iaitu kelenjar pituitari mungkin bermasalah berpunca daripada kecederaan ataupun trauma.