Utamakan pemimpin amanah, elak dipengaruhi unsur tidak bermoral

Senarai calon sudah diumumkan dan rakyat kini ternanti-nanti ketibaan 5 Mei untuk memilih pemimpin pilihan dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) mengambil pendekatan memberi pencerahan berkaitan tuntutan pilihan raya kepada masyarakat umum.

Perkumpulan pendakwah dan ilmuwan Islam yang yakin bahawa pendekatan Islam yang wasatiyyah adalah cara terbaik bagi umat Islam melaksanakan syariat Islam termasuk menunaikan kewajipan mengundi, terpanggil untuk mendidik serta menasihat semua pihak terbabit dalam PRU nanti.
Presiden MURSHID, Dr Zaharuddin Abd Rahman, berkata politik, kepimpinan, hak warga yang dipimpin dan peranan seluruh anggota masyarakat sudah digariskan dengan jelas dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

“Oleh itu, setiap pengundi khususnya umat Islam perlu menyedari bahawa mereka hendaklah bertindak berlandaskan kepada keimanan dan takwa kerana pembabitan mereka dalam pilihan raya ini akan dipersoalkan di akhirat nanti,” katanya.

Panduan buat penilaian

Sebagai panduan katanya, MURSHID menggariskan beberapa perkara untuk dijadikan asas kepada keputusan atau tindakan bakal diambil pengundi pada hari pilihan raya nanti supaya pilihan dibuat bersandarkan penilaian yang tepat.

Prinsip amanah perlu ada kepada semua pengundi seperti dijelaskan al-Quran dalam firman Allah SWT: “Allah telah memerintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil.” (Surah al-Nisa, ayat 58)
Asas penilaian lain ialah bersikap adil, ihsan, amar makruf nahi mungkar, mendamaikan atau menghilangkan sengketa selain memelihara akhlak yang mulia.
Dr Zaharuddin berkata, berbekalkan kepada prinsip itu, umat Islam yang layak mengundi hendaklah menjalankan tanggungjawab mengundi dan hak yang dijamin oleh Perlembagaan untuk memilih pemimpin pilihan melalui saluran demokrasi yang ada.

Katanya, pengundi perlu membuat pilihan yang tepat berdasarkan maklumat lengkap dan adil terhadap calon, parti yang bertanding serta manifesto mereka dengan tidak menjadikan sentimen, fitnah, kebencian atau hasutan sebagai asas dalam membuat pilihan.

“Berusahalah mencari keyakinan terhadap calon yang bertanding, partinya dan gabungan bersamanya itu dari sudut rekod prestasi untuk membawa lebih manfaat kepada kebajikan awam. Rekod prestasi penting bagi menilai kebolehan calon, parti dan gabungannya untuk mentadbir negara.

“Pengundi perlu memahami konteks politik di Malaysia yang terdiri dari pelbagai agama, bangsa dan parti. Pengundi disarankan tidak membazirkan undi kepada parti atau calon kurang faedah kepada penubuhan kerajaan yang baik dan ditegah daripada sengaja merosakkan undi,” katanya.

Elak dipengaruhi unsur tidak bermoral

Beliau berkata, MURSHID menasihatkan semua pihak supaya tidak menyokong usaha meraih undi melalui cara menyiarkan gambar atau video berunsur lucah dan tidak bermoral membabitkan ahli atau pemimpin dari parti apa sekalipun.

Mereka juga hendaklah menjauhkan diri daripada terjebak dalam aktiviti kafir mengkafir kepada orang Islam tertentu kerana klasifikasi murtad atau jatuh kafir secara pasti tidak layak diberikan oleh orang awam tanpa perbicaraan yang lengkap.

Pengundi berbeza kecenderungan politik dan parti yang disokong digesa tidak memanjangkan permusuhan atau sengketa andainya tercetus sebaliknya, kembali berbaik dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia.

Sementara kepada parti politik yang bertanding, MURSHID mengharapkan mereka meletakkan calon yang terbaik, berkarisma dan meletakkan sifat beragama sebagai asas termasuk dalam kalangan bukan Islam.

“Sehubungan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan parti-parti yang bertanding bahawa kuasa adalah amanah, tanggungjawab dan bebanan. Anda akan dipersoalkan di akhirat nanti. Maka, pastikan tindakan anda semuanya bertitik tolak daripada keimanan dan ketakwaan,” katanya.