Khairat kematian
Ajal boleh tiba bila-bila masa. Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa bersedia menghadapi kematian.

Namun, sejauh manakah orang ramai terfikir di mana akhirnya pusara mereka selepas jasad bercerai daripada badan? Jika tinggal di kampung, lazimnya tidak wujud masalah kerana memang sudah tersedia tanah perkuburan di kawasan masing-masing. Malah penduduk di desa kenal-mengenali antara satu sama lain.
Apabila dengar saja ada kematian mereka bergotong-royong mengurus dan mengebumikan jenazah.


Bagaimana pula masyarakat yang tinggal di bandar khususnya di taman perumahan, pangsapuri atau kondominium?

Sejauh mana kesedaran orang ramai khususnya golongan muda menyertai badan khairat di kawasan masing-masing atau setidak-tidaknya singgah ke masjid atau surau.

Jika mereka tidak pernah berkunjung ke masjid atau mengenali badan khairat di kawasan itu, apakah akan jadi kepada mereka jika ditakdirkan mati. Tambahan pula, mereka tiada waris untuk menguruskannya atau membawa jenazah pulang ke kampung.

Memang urusan kematian dilakukan orang yang dihidup. Namun, berdasarkan fenomena zaman ini yang penduduk bandar yang tidak mengenali dengan jiran tetangga, maka sukar untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka. FAMILI mengupas mengenai kepentingan badan khairat.
Justeru, ada kawasan penempatan yang dihuni penduduk Islam menubuhkan badan khairat kematian bagi meringankan beban si mati dan keluarga.

Badan khairat kematian biasa diwujudkan oleh pengurusan masjid, surau dan persatuan penduduk setempat tetapi kini, badan bukan kerajaan, koperasi dan institusi pekerjaan turut mempunyai skim tabung khairat kematian untuk ahli dan pekerja mereka.

Walaupun kesedaran mengenainya meningkat, masih ada segelintir masyarakat yang mengambil ringan kepentingan khairat kematian kerana menganggap wang simpanan sedia ada sudah cukup menampung urusan pengebumian walhal peranannya lebih besar daripada itu.

Bekas Mufti Johor, Datuk Noh Gadut, berkata kesedaran mengenai kepentingan badan khairat sudah lama wujud dalam kalangan masyarakat namun hanya segelintir yang menghayati konsep sebenar penubuhan tabung itu.

Menurutnya, kebanyakan individu hanya memahami peranan asas badan khairat sedangkan ia bukan saja terhad kepada urusan pengebumian jenazah.

"Secara asasnya, wang khairat kematian diwujudkan bertujuan membantu meringankan beban waris si mati dengan berperanan menyediakan kos untuk urusan kematian termasuk membantu mempercepatkan urusanpengebumian, membiayai kos mandi jenazah, kain kapan, keranda dan upah menggali kubur.

"Tetapi sekiranya dilihat dengan lebih dalam, konsep badan khairat juga bertujuan memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat melalui pengurusan jenazah selain memberi peluang kepada mereka mendalami selok-belok pengurusan jenazah umat Islam," katanya ketika dihubungi, barubaru ini.

Katanya, jika si mati orang miskin, tabung khairat kematian boleh membantu meringankan beban pengurusan jenazah kerana ada sebahagian mereka yang mati tidak mampu membiayai pengurusan jenazah sendiri.

"Bagaimanapun, ini bukan bermakna mereka yang kaya tidak perlu mengambil bahagian kerana mereka berkemampuan membiayai pengurusan jenazah.

"Ini kerana antara tujuan tabung khairat adalah meringankan bebanan yang ditanggung ahli, memberikan kemudahan dan sebagai menzahirkan rasa simpati sesama umat Islam," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai kesedaran generasi muda terhadap perkara itu, Noh berkata, golongan muda perlu sedar kepentingan badan khairat dan memulakannya sejak awal kerana ajal tidak mengenal usia.

"Segelintir golongan muda sibuk bekerja siang dan malam, malah langsung tidak kenal erti penatlelah kerana semata-mata mengejar kekayaan.

Bagi mereka, apabila mempunyai banyak wang, masa tua nanti mereka boleh berehat dan itu menjadi satu kebahagiaan bagi mereka kerana tidak terlintas untuk menikmati kehidupan pada hari sesudah mati di dunia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Khairat Bangi Perdana, Adenan Sayan, berkata kesedaran masyarakat terhadap kepentingan badan khairat kebanyakan membabitkan golongan berumur.

Jangan abai tuntutan Katanya, biasanya golongan muda lebih menumpukan perhatian dalam usaha mengukuhkan status kewangan dengan pelaburan, pembelian kereta dan rumah kerana ada yang menganggap mereka masih mempunyai banyak masa membuat persediaan menghadapi kematian.

"Bagaimanapun, kesibukan mencari rezeki tidak boleh dijadikan penyebab untuk membolehkan kita mengabaikan tuntutan Allah SWT.

"Sementara masih hidup, guna dan pastikan harta kekayaan dimanfaatkan sepenuhnya untuk dunia dan akhirat," katanya.

Berpegang kepada matlamat memberikan kemudahan kepada penduduk untuk menguruskan pengebumian jenazah, Adenan berkata masyarakat perlu membezakan tabung khairat kematian dan wang simpanan sendiri.

"Tabung khairat kematian bukan saja membabitkan pemberian wang tunai untuk pengurusan jenazah malah segala urusan akan dikendalikan sepenuhnya pihak pentadbir badan termasuk kenduri tahlil pada malam pertama kematian di rumah si mati," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan umat Islam agar mula mendaftar sebagai ahli badan khairat berikutan kos pengurusan jenazah yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.