Khairul perlu tewaskan Godfrey untuk ke suku akhir

Hari ini, peluang Khairul Annuar Mohamed (atas) dalam acara memanah individu lelaki bergantung kepada kecekalan diri ketika berdepan arus daripada lawan dari Britain, Larry Godfrey di The Lords Cricket Ground.
Andai pusingan ketiga mampu dilepasi dia akan melangkah ke suku akhir untuk mengulangi pencapaian sama Cheng Chu Sian di Beijing 2008.
"Saya akur cabaran pusingan ketiga untuk Khairul amat mencabar. Dia bukan hanya berdepan lawan tetapi penyokong tuan rumah yang boleh mengalih fokus jika tidak waspada," kata pengurus pasukan, Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalib, semalam.
Berdasarkan rekod lalu, Khairul belum pernah bertemu Godrey dan ini detik mencabar buat anak muda berusia 21 tahun.
Sementara itu, tidak banyak yang mampu dilakukan wakil tunggal negara, Koo Chai Lin dalam acara renang wanita semalam kecuali menyudahkan disiplin disertainya apabila mencatat 8 minit 51.18 saat dalam acara 800 meter gaya bebas wanita untuk mendapat tempat keenam dalam saringan ke-2.
Pencapaian itu bagaimanapun gagal mengatasi rekod kebangsaan 8:45.36s yang dipegangnya. Saringan itu dimenangi Julai Hassler dari Liechtenstein, 8:35.18s.
Satu lagi aksi atlit negara, hari ini membabitkan Fatehah Mustafa dalam acara keirin wanita di Olympic Velodrome.