MUSIM cuti sekolah datang lagi. Di Malaysia, ia begitu sinonim dengan tiga perkara iaitu kenduri kahwin, musim tengkujuh dan amalan berkhatan dalam masyarakat Muslim. Ada menganggap berkhatan adalah amalan ritual Islam saja. Secara tradisinya ia dijalankan bagi seseorang kanak-kanak yang ingin berpindah alam dari seorang budak lelaki kepada dewasa yang bakal digalas dengan penuh tanggungjawab dan kehormatan.

Disebabkan tiada kajian saintifik zaman dulu, maka amalan ini lebih dilihat sebagai ritual bersandarkan kepada dalil yang disebutkan dalam hadis.
Sesungguhnya kelebihan berkhatan itu berkait rapat dengan penjagaan kebersihan diri, yang menjadi antara bab utama dalam pelajaran ilmu fikah. Bukti amali yang terang dilihat apabila kanak-kanak yang belum berkhatan dinasihatkan berada pada saf berbeza atas alasan ia mengandungi retensi najis di dalam kulit yang meliputi hujung kemaluan. Justeru, di dalam Islam, atas dasar berada dalam saf yang sempurna ketika solat berjemaah adalah elemen penting dalam kehidupan Muslim, maka ia dilakukan ketika umur kanak-kanak lelaki belum mencapai akil baligh. Di negara maju, berkhatan turut dilakukan dengan meluas dalam kalangan lelaki dewasa, yang secara tidak langsung mengakui kepentingan dan kelebihan sunnah Nabi ini. Data dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2007 menunjukkan anggaran 30 peratus lelaki berkhatan dan 68 peratus daripadanya ialah Muslim. Ini menunjukkan masih ada pendirian yang menganggap amalan ini ritual dan bukan untuk pencegahan kepada pelbagai jenis kemudaratan.



Kajian terhadap kesan amalan berkhatan ini kepada penularan penyakit berjangkit seperti transmisi virus imunodefisiensi manusia (HIV). Sejak berkhatan ini diperkenalkan sekitar 1980-an sebagai kaedah mengurangkan penularan virus ini yang berkait rapat dengan hubungan seks heteroseksual, pelbagai penemuan diterbitkan yang kebanyakan dilakukan pakar dalam bidang penyakit berjangkit, perubatan masyarakat, pakar urologi yang menghasilkan output berkaliber tinggi termasuk Kajian Sistematik Cochrane (Cochrane Systematic Review) pada 2005.

Kajian Cochrane ini adalah suatu kaedah kajian dianggap kuat impak akademiknya, yang dalam isu ini secara konsisten menyokong kesan elak penularan HIV ini dengan adanya amalan berkhatan di kalangan lelaki. Ia diperkuatkan dengan tiga kajian Kajian Rawak Terkawal (Randomised Controlled Trial, RCT) pada tahun berikutnya yang menzahirkan melebihi keraguan munasabah.

Mungkin ada yang menganggap HIV itu jauh daripada mereka. Namun ini tidak dapat menidakkan kelebihan berkhatan yang boleh mengurangkan insiden jangkitan hubungan seksual, seperti sifilis dan herpes.
Jangkitan bakteria lain berkaitan kebersihan bahagian tubuh itu terbukti dapat dikurangkan seperti dinyatakan Persatuan Perubatan Amerika (The American Medical Association, 1999) bahawa berkhatan amat berkesan menurunkan statistik penyakit hujung kemaluan dikenali sebagai phimosis kerana phimosis juga adalah faktor risiko mendapatkan kanser alat kelamin lelaki, maka konklusi berkhatan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja lelaki boleh mengurangkan kemungkinan mendapatkan kanser digeruni ini. (Larke et al, terbitan Ogos 2011, di dalam jurnal perubatan antarabangsa, Cancer Causes Control).

DR IRFAN MOHAMAD,
Pensyarah Perubatan,
Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia.