Kuala Lumpur: Apa lagi alasan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas sekali lagi pasangan emas itu gagal menyinar apabila tewas di suku akhir Terbuka India di New Delhi semalam?

Kekalahan 19-21, 14-21 kepada gandingan Korea Selatan Kim Ki Jung-Kim Sa Rang dalam tempoh 37 minit menyaksikan harapan pilihan utama kejohanan itu untuk menamatkan kemarau kejuaraan di pentas antarabangsa sejak setahun lalu tidak kesampaian.
Malah, gandingan Korea itu terus melebarkan rekod kemenangan kepada 3-0 selepas menewaskan pasangan negara dalam dua pertemuan sebelum ini di Terbuka Malaysia 2010 dan Terbuka Jepun tahun lalu.

Hanya tinggal Chong Wei

Kekalahan itu juga isyarat jelas kepada Kien Keat-Boon Heong betapa mereka perlu bekerja keras lagi andai tidak mahu dipecahkan sekiranya gagal mara ke final Kejohanan Dunia di Guangzhou, China Ogos depan.

Turut mengikut jejak mereka gandingan campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying apabila tewas mengejut kepada beregu Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda Zieba 13-21, 18-21, walaupun rekod pertemuan memihak mereka.

Kekalahan kedua-dua beregu itu menyaksikan hanya Lee Chong Wei menjadi wakil tunggal negara yang beraksi di separuh akhir hari ini selepas dia mudah menewaskan pemain tuan rumah, Prannoy H S 21-14, 21-19.
Pemain nombor satu dunia itu dijadual menentang pilihan ketujuh, Boonsak Ponsana dari Thailand selepas dia menewaskan seorang lagi pemain tuan rumah, Gurusaidutt R.M.V 21-12, 11-21, 21-12.