Kim Swee panggil Junior Junior Edstal
Kuala Lumpur: Pemain muda Sarawak, Junior Edstal bakal dipanggil memantapkan skuad bawah 23 negara menjelang Sukan Universiti Dunia di Kazan, Russia Julai ini sebagai persediaan untuk misi utama mempertahan emas Sukan SEA hujung tahun nanti.

Pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, dia memerlukan skuad terbaik menjelang kejohanan itu nanti bagi memastikan pencapaian tempat ke-12 sebelum ini dapat diperbaiki walaupun ia bukan matlamat utama pasukan.
Hasil maklum balas dari beberapa aksinya bersama Sarawak, saya rasa Junior berpotensi membantu skuad bawah 23 menjelang misi penting mempertahan emas Sukan SEA di Myanmar nanti, kata Kim Swee ketika dihubungi semalam.

Saya mungkin akan menguji dia lebih awal ketika skuad muda negara menyertai Sukan Universiti Dunia di Kazan Julai ini, di mana saya mungkin akan memanggil beberapa pemain lagi untuk memperkuat barisan sedia ada yang berlatih di Slovakia.

Tahap lebih tinggi

Menurut Kim Swee, dia pernah dimaklumkan tentang potensi Junior pemain kelahiran Malaysia yang pernah beraksi di Liga Bola Sepak Vauxhall, England - dan mendapat gambaran lebih jelas selepas pemain tengah itu beraksi bersama Sarawak.

Sebagai jurulatih, sasaran utama saya hanya satu emas Sukan SEA, kata Kim Swee ketika ditanya berkenaan keputusan kurang memberangsangkan sepanjang sesi perlawanan persahabatan di Eropah. Kalau untuk sekadar menang, saya boleh minta kita lawan pasukan muda yang lemah di sini.
Tetapi untuk berada setahap lebih tinggi berbanding lawan setaraf kita di rantau Asia Tenggara dan Asia, kita perlu menguji kemampuan kita dengan pasukan lebih berkualiti. Lagi pun kita hadir bukan dengan pasukan terbaik dan ramai di antara pemain muda ini mendapat pendedahan kali pertama.

Selepas sesi latihan di Eropah, skuad muda negara akan beraksi dalam Sukan Universiti Dunia di mana Malaysia diletakkan dalam kumpulan sukar bersama Itali, Britain dan Algeria sebelum kembali ke tanah air untuk saingan Pesta Bola Merdeka pada Ogos ini.