KUALA LUMPUR: Kira-kira 14,500 pengguna sekitar wilayah Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan penyusutan paras air di Kolam Terminal Bandar Baru Bangi.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam kenyataan di sini, hari ini berkata, pihak SYABAS sedang menyusun semula agihan bekalan air bagi menstabilkan paras simpanan air kolam itu.
"Pelan tindakan kecemasan kod hijau telah diaktifkan Syabas di Wilayah Hulu Langat pada 9 malam, 22 April susulan peningkatan permintaan bekalan air terawat," kata kenyataan itu.

Kawasan yang terjejas ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Lingkungan 1 di Bangi; Taman Vista Emas, Taman Tropika dan Taman Alam Sari di Sungai Tangkas; serta Jalan 3/13A, Jalan 3/13B dan Jalan 3/13C di Taman Kajang Utama.

SYABAS berkata, sembilan lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas, sementara 30 tangki statik ditempatkan di kawasan-kawasan strategik bagi meringankan kesulitan pengguna.

Berikutan itu, pengguna di Hulu Langat, Putrajaya dan Petaling Jaya disaran menggunakan air secara berhemah bagi mengurangkan permintaan air secara keseluruhannya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222.
Maklumat lanjut boleh melayari laman web Syabas di www.syabas.com.my atau menerusi Twitter dan Facebook PUSPEL.

Sementara itu, SYABAS ketika dihubungi BERNAMA berkata, mereka tidak dapat memberikan kepastian buat masa sekarang bila bekalan air di kawasan yang terjejas dapat dipulihkan. - BERNAMA