Kuala Lumpur: Kecurian klip besi pengikat landasan kereta api, mungkin punca dua daripada 14 koc Ekspres Wau dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tumpat, terbalik di Kampung Sungai Yu, dekat Kuala Lipis, Sabtu lalu.

Malah, Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB), semalam mendedahkan insiden sama hampir berlaku dua minggu lalu di Gemas, Negeri Sembilan apabila dipercayai ratusan klip besi dicuri di laluan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata mereka yang melakukan perbuatan vandalisme itu kemudian menjual klip besi berkenaan sebagai barangan lusuh.


Sebelum ini, KTMB banyak berhadapan perbuatan vandalisme itu, akibatnya buruk kepada landasan kereta api. Mungkin faktor kecurian klip besi antara punca dua koc Ekspres Wau tergelincir, namun saya akan mendapatkan laporan penuh daripada KTMB yang dijangka disiap dalam tempoh terdekat, katanya, semalam.

Kejadian jam 6.45 pagi di antara Stesen Keretapi Kuala Lipis dan Gua Musang itu menyebabkan 11 penumpang cedera, tiga daripada mereka parah termasuk seorang ibu hamil tujuh bulan. Kedua-dua koc penumpang itu ialah koc Kelas 1 dan koc tidur dengan sebahagian besar penumpang dikatakan sedang tidur ketika kejadian.