Laman Utama » Rencana
Kolej Komuniti sedia kursus jana ekonomi, lahir pekerja mahir
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
2011/04/11
KEHADIRAN pekerja mahir atau separa mahir di sesuatu daerah bukan saja bertujuan memenuhi keperluan sumber manusia industri setempat, malah mampu menjana ekonomi tempatan.
Pada tahap individu, peningkatan kemahiran bermakna kenaikan upah kerana mereka mampu melakukan kerja dengan lebih baik atau menyempurnakan tugas yang memerlukan pengetahuan.
Peningkatan bayaran kepada sekumpulan pekerja separa mahir dan mahir akan menjana pertumbuhan ekonomi setempat melalui perbelanjaan lebih tinggi berikutan kuasa beli bertambah.
Tujahan terus ke akar umbi itu menjadi strategi Kolej Komuniti membantu penduduk sama ada di bandar mahupun luar bandar mendapat kemahiran baru atau meningkatkan kemahiran sedia ada.
Program latihannya terbuka kepada semua kaum, umur dan jantina. Tempoh latihan pula sangat fleksibel, iaitu dijalankan daripada sehari hingga lima hari atau sebulan hingga tiga atau enam bulan mengikut kesesuaian kursus.
Latihan pula berlangsung pada selepas waktu kerja, iaitu antara jam 6 petang hingga 10 malam atau pada hujung minggu.
Jenis latihan yang diadakan pula meliputi pelbagai bidang; daripada menjahit pakaian, membuat seramik, kek, roti, memelihara kambing hingga kepada memandikan dan mengurus jenazah.
Tidak hairanlah, tahun lalu saja 123,000 peserta mengikuti pelbagai jenis latihan secara sambilan.
Dari segi peringkat umur, tiada had dikenakan hingga ada pesara berusia 69 tahun mengikuti latihan dalam bidang animasi komputer.
Kolej Komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi itu kini mempunyai 72 kolej di seluruh negara termasuk tiga di Sarawak.
Kolej Komuniti wujud di Bumi Kenyalang bermula di Kuching pada 2001, diikuti Mas Gading pada 2003 dan Santubong pada 2007.
Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Kolej Komuniti, Prof Madya Kamarudin Kasim, berkata kolej berkenaan menawarkan program mengikut kehendak masyarakat setempat atau berasaskan keperluan ekonomi mereka.
Sebagai contoh, katanya, Kuching atau Sarawak secara umum terkenal sebagai destinasi pelancongan dan sentiasa memerlukan pekerja separa mahir dan mahir dalam bidang berkaitan.
Justeru, beliau berkata, Kolej Komuniti Kuching misalnya menawarkan latihan dalam bidang Pemanduan Pelancongan Bandar, Pemanduan Pelancongan Alam Semula Jadi, Ketua Rombongan Pelancongan dan Pemanduan Pelancongan Setempat.
“Sarawak memerlukan modal insan yang sentiasa menambah ilmu pengetahuan melalui peningkatan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru.
“Kolej Komuniti di Kuching, Mas Gading dan Santubong akan memastikan aspirasi kerajaan melahirkan warga negara kelas pertama,” katanya.
Selain program latihan secara modul antara tiga hingga enam bulan, Jabatan Pengajian Kolej Komuniti juga memperkenal Latihan 1Malaysia sejak Januari lalu.
Program itu dilangsungkan dalam tempoh lebih singkat, iaitu antara 10 hingga 20 jam dengan bayaran RM1 sejam.
Antara bidang latihannya ialah muzik moden, muzik tradisional, seni tari, nyanyian, bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab, Tamil dan Jepun serta 34 bidang teknikal seperti fotografi dan rangkaian komputer.
Kamarudin berkata, sehingga awal bulan ini, 23,363 peserta dari seluruh negara mendapat manfaat daripada Latihan 1Malaysia dengan 17,000 daripada mereka adalah wanita.
“Latihan 1Malaysia lebih popular di kalangan wanita kerana mereka mahu mengikuti kursus dalam bidang seperti fesyen dan pakaian, jahitan kreatif, terapi kecantikan dan spa serta pastri,” katanya.