Kolej tipu pengiktirafan2012/08/10Kuala Lumpur: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengesan beberapa kes kolej swasta melakukan penipuan dengan mendakwa ijazah dan diploma ditawarkan memperoleh akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata tindakan itu dilakukan untuk mempengaruhi pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terbabit. Tipu ada prasarana “Kolej terbabit turut mengumumkan pelbagai prasarana pengajaran dan pembelajaran (P&P), sedangkan sebenarnya kemudahan itu tiada. Kes itu terbongkar hasil siasatan Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat KPT,” katanya kepada BH, di sini semalam. Dalam perkembangan berkaitan, sebuah IPTS yang mempunyai seramai 800 pelajar di Seri Kembangan, Serdang didakwa beroperasi secara haram, biarpun sudah diarahkan oleh KPT supaya menggantung operasi bagi membolehkan pihak pengurusannya menyelesaikan masalah dalaman. Kena tindakan gagal bayar gaji pekerja Bekas kakitangan pentadbirannya yang enggan namanya disiarkan mendakwa, kolej itu sudah dikenakan tindakan oleh KPT dan Jabatan Tenaga Kerja kerana gagal membayar gaji pekerja dalam tempoh tiga hingga empat bulan. Katanya, setiap kali wakil kementerian dan jabatan terbabit membuat pemeriksaan ke kolej itu, IPTS terbabit mengarahkan pelajarnya bercuti atau menangguh kuliah bagi mengelak dikenakan tindakan. Bimbang nasib pelajar “Kami turut bimbang dengan nasib pelajar kolej itu kerana pihak pengurusan kerap meminta mereka bercuti dan menunda kuliah kerana ketiadaan pensyarah selepas 100 pensyarah serta kakitangan pentadbirannya meletak jawatan,” katanya. Jurucakap mendakwa, beliau bersama 10 bekas pensyarah kolej itu membuat aduan mengenai masalah dalaman kolej itu kepada KPT di Putrajaya, baru-baru ini dan kolej terbabit sudah diarahkan membayar gaji mereka. |