1,500 anggota kerjasama cegah jenayah sepanjang cuti Aidilfitri

Puchong: Seramai 1,500 anggota Kepolisan Komuniti (CP) terdiri daripada kaum Cina dan India di seluruh Selangor sedia membantu polis mencegah jenayah sepanjang cuti Aidilfitri ini.
Pengerusi CP Selangor, Kuen Chee Heng, berkata anggotanya sedia menjaga keselamatan kediaman jiran terdiri daripada kaum Melayu yang bakal bercuti menyambut hari raya hujung minggu ini.

Aidilfitri kali ini, orang Cina dan India bersama kawal keselamatan di kawasan perumahan mereka, begitu juga bila tiba musim perayaan orang Cina dan India pula". - Tun Hisan Tun Hamzah, Ketua Polis Selangor

“Jiran tetangga kita yang beragama Islam akan pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri. Menjadi tanggungjawab kita yang bukan Islam untuk menjaga kawasan perumahan, sekali gus mengelak jenayah berleluasa.

Galas tanggungjawab secara bergilir

“Selain itu, kita juga dapat membantu polis mengurangkan kadar jenayah di Selangor dalam mencapai sasaran jenayah sifar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Rondaan Sukarela Mencegah Jenayah yang disempurnakan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini semalam.

Sementara itu, Tun Hisan berkata, tanggungjawab sedemikian harus digalas secara bergilir-gilir di antara masyarakat pelbagai kaum setiap kali musim perayaan.
“Aidilfitri kali ini, orang Cina dan India bersama kawal keselamatan di kawasan perumahan mereka, begitu juga bila tiba musim perayaan orang Cina dan India pula. Biasanya, kes pecah rumah meningkat pada musim perayaan dan kerana itu, polis berbesar hati jika orang awam mahu berganding bahu membanteras jenayah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang ingin pulang menyambut perayaan di kampung, memaklumkan kepada polis supaya kediaman mereka dapat diawasi.

Sementara itu, katanya, hanya 10 peratus daripada anggota polis di Selangor diberikan cuti Aidilfitri.