KETUA Polis Negara (KPN) yang baru, Tan Sri Ismail Omar mendedahkan visinya mengenai konsep 4P untuk pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

Konsep 4P itu merangkumi ‘Protective’ (Melindungi), ‘Performance’ (Berprestasi), ‘Proactive’ (Proaktif) dan ‘People Oriented’ (Berorientasikan Masyarakat).
Beliau menyatakan akan meneruskan usaha baik yang dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara sebelumnya dan beriltizam untuk membawa pasukan polis ke tahap lebih tinggi.


Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) sebagai badan bukan kerajaan yang bergiat aktif dalam pencegahan jenayah meletakkan keyakinan kepada KPN dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada beliau.

Adalah jelas konsep 4P itu sangat signifikan dalam membina pasukan yang akan menjadi kebanggaan rakyat dan negara.

Rakyat dan seluruh negara meletakkan harapan tinggi kepada beliau untuk merealisasikan kewujudan satu pasukan yang melindungi masyarakat, berprestasi cemerlang, proaktif dan berorientasikan masyarakat.

Dalam proses penyesuaian diri untuk melakukan tugas itu bersama timbalannya, Datuk Hussin Ismail, KPN perlu menangani dua cabaran besar iaitu menambah tahap keyakinan masyarakat serta menangani persepsi masyarakat terhadap pasukan polis.
Di sebalik fakta kejayaan pasukan polis menurunkan jenayah jalanan dan indeks jenayah beberapa bulan lalu berbanding tempoh sama tahun lalu, pada masa sama masyarakat tidak mempunyai persepsi yang sama dan masih percaya bahawa kes jenayah semakin meningkat.

Oleh itu, adalah perlu diadakan pendekatan polis bersama masyarakat bagi menangani isu ini dan MCPF bersedia memainkan peranan bagi melaksanakan kempen dan aktiviti pendidikan dan pencegahan jenayah membabitkan polis dengan lebih kerap.

Bagi membantu merealisasikan konsep 4P, KPN perlu memotivasikan semua peringkat dalam pasukan untuk menjalankan tugas dengan penuh dedikasi, ikhlas dan berintegriti.

Sehubungan itu, pihak kerajaan juga harus memberi perhatian kepada skim ganjaran yang lebih baik serta elaun dan keperluan lain untuk anggota.

Selain itu, pasukan polis juga perlu diperkuatkan dengan penambahan anggota, dilengkapi dengan peralatan dan teknologi yang bersesuaian demi membanteras penjenayah yang semakin canggih.

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi MCPF.