Sukan

Kontinjen negara sasar Autopolis



Zamri buktikan kemampuan dengan memenangi perlumbaan pertamanya musim ini pada perlumbaan satu sebelum sekali lagi menaiki podium di kedudukan kedua, minggu lalu.

Selepas aksi memberangsangkan di Zhuhai

Kuala Lumpur: Selepas menamatkan saingan pusingan tiga siri Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) di Zhuhai China minggu lalu dengan keputusan memberangsangkan, kontinjen negara kembali ke tanah air dalam suasana perayaan.

Pada perlumbaan minggu lalu, pelumba negara Mohd Zamri Baba membuktikan kemampuannya dengan memenangi perlumbaan pertamanya musim ini pada perlumbaan satu sebelum sekali lagi menaiki podium di kedudukan kedua.

"Selepas ini kesemua pelumba akan beraksi pada sirkit tempatan perlumbaan Cub Prix pusingan tujuh di Kluang, Johor dan kita yakin semua pelumba kini sudah mula mendapat rentak," kata Pengarah Promosi Safe Aim Mutual, Ron Hogg ketika majlis berbuka puasa bersama pelumba dan media, semalam.

"Saya yakin kecemerlangan ini akan diteruskan terutama menerusi penunggang berpengalaman seperti Zamri, Ahmad Fuad (Baharuddin) dan Azlan Shah (Kamaruzaman) malah dalam kelas Underbone 115cc, pelumba kita mampu bangkit,” katanya.

Perlumbaan pusingan keempat ARRC akan berlangsung di Litar Autopolis Jepun yang dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 9 September depan.