Bapa mangsa, Hasni Abu (kiri) bersama ahli keluarga menunggu jenazah Mohd Lutfi (gambar kecil) di Hospital Kluang, semalam. - Foto Adnan Ibrahim
Kemalangan membabitkan motosikal, teksi dan lori di Batu 21, Kahang, di sini jam 4.40 petang kelmarin itu, mengorbankan penunggang motosikal, Mohd Lutfi Hasni, 21, dari Sungai Kluang, Rengit, yang juga pelajar Politeknik Merlimau, Melaka, manakala pemboncengnya parah.
Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali, berkata kejadian berpunca apabila marsyal konvoi motosikal itu memberi isyarat kepada sebuah teksi supaya memberi laluan, tetapi pemandunya terkejut dan berhenti secara tiba-tiba sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah lori.
Katanya, lori yang melintang di tengah laluan itu pula dirempuh motosikal mangsa menyebabkan Mohd Lutfi tercampak dan mati di tempat kejadian, manakala pemboncengnya yang belum dikenal pasti identiti, parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Abang Mohd Lutfi, Mohd Lukman, 31, berkata adiknya menunjukkan sikap pelik apabila tidak bersalam dengan ibu dan bapa mereka seperti biasa sebelum menyertai konvoi berkenaan.