Menang ke atas Lions XII buka peluang pasukan lain cabar mahkota liga

Kuala Lumpur: Terengganu mampu menjadi pencetus perubahan teraju Liga Super tatkala saingan hanya berbaki lapan perlawanan sekiranya berjaya mengikat atau menewaskan Lions XII di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang ini.
“Kemenangan Terengganu mampu membuka laluan kepada Tentera dan Johor DT (untuk mencabar kejuaraan), saya jangkakan empat pasukan akan bersaing hingga ke saat-saat akhir,” kata bekas jurulatih dan pemain Reduan Abdullah.
Kemenangan Terengganu mampu membuka laluan kepada Tentera dan Johor DT (untuk mencabar kejuaraan), saya jangkakan empat pasukan akan bersaing hingga ke saat-saat akhir,” Reduan Abdullah, bekas jurulatih dan pemain.

“Kelebihan berpihak kepada Terengganu kerana Lions XII kelihatan kurang bermaya beraksi pada sebelah petang. Jadi Terengganu perlu menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk membantu pasukan lain menewaskan Lions.”

Peluang Selangor, Pahang

Tentera yang hanya dibezakan satu mata dengan Lions XII, bakal berentap menentang Johor DT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan kedudukan pendahulu mampu digugat sekiranya The Gladiators mengutip tiga mata penuh. Namun anak buah B Sathianathan sudah beraksi 15 perlawanan, lebih satu daripada lima pasukan di kelompok teratas.

Namun, jika Tentera tewas, skuad bimbingan Fandi Ahmad mampu berkongsi mata dengan Lions XII, tetapi anak buah V Sundramoorthy masih mempunyai kelebihan jaringan.
Beza satu mata

Saingan antara Pahang dan Selangor di Stadium Darulmakmur turut menarik perhatian dengan penghuni tangga kelima dan keempat itu - dibezakan hanya satu mata - mampu memperbaiki kedudukan sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu liga.

Perlawanan membabitkan enam pasukan bawah juga tidak kurang menarik dengan juara bertahan, Kelantan perlu meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan FELDA United di gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad IV.

Dua pasukan tercorot, T-Team dan Negeri Sembilan masing-masing masih mempunyai harapan untuk keluar daripada zon penyingkiran, tetapi perlu memastikan pertemuan dengan PKNS dan Perak berpihak kepada mereka.

T-Team akan bertemu PKNS di Stadium Shah Alam, manakala Negeri Sembilan yang belum merakam sebarang kemenangan, berdepan Perak yang pertama kali beraksi di Stadium Perak, Ipoh musim ini.

Lagi berita kemeriahan Liga Super, dapatkan akhbar BH hari ini atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my