KUNTA Kinte sertai semua rakyat Malaysia dan peminat badminton ucap tahniah dan terima kasih kepada Datuk Lee Chong Wei kerana menang pingat perak dalam Sukan Olimpik di London baru-baru ini.

Buruk baik itulah satu-satunya pingat yang Malaysia dapat. Kunta Kinte pun tak mahu cakap banyak berkenaan mutu sukan Malaysia pasal semua sudah maklum. Sukan tanah air kita sedang alami penyakit atau dalam bahasa perubatan dipanggil maladi.
Apa yang kita dapat dalam sukan antarabangsa macam Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA dah cukup untuk jadi bukti macam mana lemahnya Malaysia dalam bidang sukan.

Jadi, kalau nak transformasi sekali lagi sistem pendidikan, Kunta Kinte harap utamakanlah pengajaran, pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris. Tak guna transformasi kalau bahasa Melayu dan Inggeris basi dan tulisan Jawi dah dekat-dekat nak mati. Tak lama dulu kita angan-angan nak jadi gemilang, terbilang dan tinggi menjulang. Tapi akhirnya kita tunggang-langgang. Bukan sebab kita tak boleh, tapi kerana kita banyak sangat main ubah-ubah dan alih-alih. Macam kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee, walhasil balik asal, itu pasal tak hasil”

China dan Amerika hebat

Kunta Kinte tak hairan negara macam China dan Amerika hebat dalam Olimpik. China hebat sebab ia negara gergasi dengan penduduk paling ramai di dunia, kira-kira 1.34 bilion.

Tapi yang buat China hebat bukan bilangan penduduk saja, tapi sistem yang ia gunakan. China terus amalkan rejimen dan disiplin komunis untuk latih ahli sukan dari segi fizikal dan mental. Mereka ditanamkan semangat patriotisme yang tinggi sejak kecil lagi.

Tapi penduduk yang ramai tak jamin kejayaan. Dari segi penduduk, India nombor dua selepas China dengan 1.21 bilion manusia, tapi hambar dalam bidang sukan. Ini bukan apa, tapi India terlalu demokratik sampai tak ada disiplin dan sistem. Kita pun kalau tak ada disiplin dan tak ada sistem, sampai bila-bila pun tak boleh maju dan berjaya.
Sistem dipakai Amerika

Dulu Russia pun berjaya juga. Tapi selepas negara itu buang sistem komunis dan berpecah, mutu sukannya merosot. Setakat ini, jatuh nombor empat lepas Great Britain.

Lain halnya dengan Amerika. Ia gunakan sistem kapitalis untuk majukan sukan. Ahli sukannya dibagi biasiswa dan kalau berjaya dapat tajaan komersial yang berjuta-juta dolar nilainya.

Ambil contoh pemain golf Tiger Woods. Tahun lepas dia dapat gaji AS$2.3 juta (kira-kira RM7.59 juta) dan tajaan komersial AS$60 juta (RM198 juta).

Pencapaian negara kecil

Tapi yang Kunta Kinte betul-betul kagum adalah pencapaian negara-negara kecil dan negara miskin yang ahli sukannya tak kaya macam di Amerika. Kejayaan mereka lebih bermakna daripada kejayaan negara besar atau negara maju.

Ambil contoh negara maju yang kecil macam New Zealand. Setakat 8 Ogos, negara itu sudah dapat sembilan pingat – tiga emas, satu perak dan lima gangsa. Penduduknya hanya 4.4 juta. Jadi bagi setiap kira-kira 488,000 penduduk New Zealand ada satu pingat. Kita ada satu pingat untuk 28 juta orang.

China pun tak sehebat New Zealand atau Jamaica.

Setakat 8 Ogos, Jamaica iaitu negara pemecut kilat, Usain Bolt sudah dapat empat pingat, dua daripadanya emas. Bagi negeri China, ada satu pingat bagi setiap 18.4 juta orang berbanding dengan satu pingat bagi setiap 676,456 penduduk Jamaica.

Jamaica sebuah pulau di Caribbean dengan penduduk seramai 2.7 juta saja, tapi terkenal dengan kehebatan ahli sukannya. Ada orang kata, kepantasan berlari adalah sebahagian daripada ‘genes’ orang Jamaica yang kerap dipanggil ‘Actinen A’ atau ‘ACTN3’.

Tahniah Chong Wei

Balik kepada Chong Wei, Kunta Kinte ada satu sebab lagi nak ucap tahniah kepada dia. Kunta Kinte ucap tahniah kepada dia kerana cakap bahasa kebangsaan dalam temu ramah TV lepas pertandingan itu. Tak apalah kalau bahasa Melayu dia biasa saja. Yang penting dia cuba.

Tapi Kunta Kinte ralat dengan terjemahan dalam bahasa Inggeris yang lintang-pukang. Itulah pun mutu bahasa Melayu dan Inggeris dalam kalangan majoriti rakyat Malaysia hari ini.

Transformasi sistem pendidikan

Jadi, kalau nak transformasi sekali lagi sistem pendidikan, Kunta Kinte harap utamakanlah pengajaran, pembelajaran dan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris. Tak guna transformasi kalau bahasa Melayu dan Inggeris basi dan tulisan Jawi dah dekat-dekat nak mati.

Tak lama dulu kita angan-angan nak jadi gemilang, terbilang dan tinggi menjulang. Tapi akhirnya kita tunggang-langgang. Bukan sebab kita tak boleh, tapi kerana kita banyak sangat main ubah-ubah dan alih-alih. Macam kata Allahyarham Tan Sri P Ramlee, walhasil balik asal, itu pasal tak hasil. Wallahualam.