Antara lain, pengusaha bas tidak perlu menyertakan senarai nama murid dan pelajar yang menaiki bas mereka. Sebelum ini, pengusaha perlu mengemukakan senarai itu untuk tujuan insurans.
"Meskipun syarat itu sudah dikecualikan, pengusaha tetap perlu melampirkan surat kontrak yang disahkan pihak sekolah,” katanya selepas menyerahkan surat tawaran lesen (STK) kepada 25 pemohon di Dewan Datuk Demang Husin, Bukit Katil, dekat sini, semalam.
Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) mendedahkan kajian pihaknya mendapati lebih 10,000 pemilik kenderaan, termasuk van persendirian menjadikan kenderaan mereka sebagai bas sekolah dan beroperasi secara haram tanpa permit sah LPKP.
Presiden PPBSM, Chee Ah Tey, mendakwa lebih 3,000 ahlinya seluruh negara menerima banyak aduan daripada ibu bapa berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Halimah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau kewujudan bas sekolah haram berkenaan sambil menggalakkan mereka memohon permit berharga RM10 di empat pejabat wilayah LPKP di Semenanjung.
"Pengusaha perlu faham, tujuan LPKP bukan untuk mengambil untung, syarat memohon permit kini dipermudahkan dan kami akan mengadakan mesyuarat setiap Isnin bagi menilai sesuatu permohonan.
"Hanya permohonan yang tidak lengkap, tidak menyertakan maklumat tepat dan tidak menyertakan surat pengesahan daripada sekolah akan ditolak,” katanya.
