Laluan maut KETUA Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik memeriksa mayat warga asing yang dijumpai mati lemas di pantai Teluk Semayong Sedili setelah bot yang membawa mereka karam. - Foto Roslan Khamis
Lapan lemas, lima hilang bot pancung seludup warga asing karam di Sedili

SEDILI: Cubaan 25 warga Iraq dan Afghanistan yang membayar sehingga AS$8,000 (RM24,000) untuk diseludup ke negara ketiga melalui negara ini, berakhir tragedi apabila lapan lemas dan lima hilang selepas bot pancung mereka naiki karam di luar Pantai Telok Semayong dekat Sedili Besar, di sini awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai berlaku akibat bot terlebih muatan selain ombak besar pada ketika itu.
Mereka yang menggunakan sindiket dan tekong bot dari Indonesia melalui laluan tikus berkenaan dipercayai menaiki bot pancung itu untuk transit ke Batam, Indonesia sebelum di seludup ke Australia.

Semua 12 mangsa yang terselamat dalam kejadian jam 6.30 pagi, di kedudukan kira-kira tujuh batu nautika (11 kilometer) di luar Pantai Telok Semayong itu, berenang ke pantai sambil berpaut pada kayu dan beg yang mereka bawa.

Laluan itu antara yang menjadi tumpuan sindiket pemerdagangan manusia membawa warga asing untuk diseludup ke negara ke tiga termasuk Australia yang sebelum itu akan singgah di Batam.

Sebelum ini, beberapa kejadian sama berlaku di kawasan perairan itu. Pada Jun tahun lalu, tujuh pendatang asing tanpa izin Indonesia lemas selepas bot pancung mereka naiki karam akibat dipukul ombak besar di 3.5 batu nautika, selatan Tanjung Ayam, perairan Pengerang yang juga untuk ke Batam.

Selain itu, pada Mei 2009, sembilan orang termasuk enam sekeluarga dari Pakistan lemas apabila bot pancung mereka karam dan sebulan selepas itu tujuh lemas apabila bot yang membawa pendatang tanpa izin Indonesia juga karam ketika dalam perjalanan ke Batam.
Sementara itu, dalam kejadian semalam, difahamkan perjalanan dari lokasi bot karam ke Batam hanya tinggal kira-kira 20 minit menggunakan bot pancung yang dilengkapi enjin berkuasa tinggi yang sering dipasang secara berkembar oleh tekong laut atau penyeludup.

Difahamkan, mangsa memasuki negara ini menerusi penerbangan dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Sabtu lalu dan menggunakan khidmat tekong laut Indonesia menyusup ke Australia.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik, berkata pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 8 pagi daripada orang awam yang menemui mayat terdampar di sekitar pantai berkenaan.

“Polis bergegas ke lokasi untuk gerakan mencari dan menyelamat serta menemui lapan mayat terdampar di pantai kira-kira jam 9 pagi. Mangsa terselamat yang berumur 20 hingga 30an ditemui di tepi jalan kira-kira 500 meter dari lokasi mayat rakan mereka, sebelum dibawa ke Balai Polis Tanjung Sedili untuk membantu siasatan.

“Ketika ditemui, mereka sedang mencari arah ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan bantuan. Bot karam dinaiki mereka turut terdampar di pantai selepas dihanyutkan ombak,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, mangsa yang lemas dan hilang belum dikenali kewarganegaraan masing-masing dan gerakan mencari dan menyelamat membabitkan 20 anggota dan pegawai terdiri daripada Pasukan Gerakan Marin serta pasukan balai polis berhampiran, dibantu bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan RELA.

Polis juga sedang memburu tekong bot berkenaan, dipercayai warga Indonesia yang menghilang bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, semua warga asing terbabit menggunakan khidmat sindiket dengan bayaran tertentu untuk membawa mereka keluar dari negara ini.

Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang (ATIP) 2007 dan orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi balai polis berdekatan.