Nasional
Laman sosial Anwar tidak dikemas kini
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
2011/03/26
Alibi rekod tulisan tempoh video seks dipersoal
KUALA LUMPUR: Laman sosial Twitter milik Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dikemas kini pada tempoh video seks yang membabitkan seorang lelaki yang dikatakan miripnya dan seorang warga asing pada malam 21 Februari lalu.
Ketua Pembangkang itu hanya mengemaskini akaun Twitter miliknya pada jam 9.20 malam dan kembali berbuat demikian pada 11.39 malam.
Seorang wartawan akhbar Sin Chew Daily mempersoalkan alibi Anwar yang menyatakan bahawa dia merekodkan tulisannya dalam Twitter dan Facebook pada tempoh rakaman video seks itu, antara jam 10.23 malam hingga 10.42 malam.
Katanya, dia tidak menemui sebarang pengemaskinian pada kedua-dua akaun laman sosial milik Anwar ketika masa rakaman video seks itu didakwa dilakukan.
Isnin lalu, seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Datuk T’, ketika menayangkan satu rakaman video seks didakwa membabitkan Anwar kepada media mendakwa adegan itu berlaku antara jam 10.23 malam hingga 10.42 malam.
‘Datuk T’ ketika mendedahkan perkara itu di Carcosa Seri Negara, turut mendakwa adegan itu dirakam menggunakan empat kamera litar tertutup pada 21 Februari lalu di sebuah hotel di ibu negara.
Beberapa jam selepas pendedahan itu, Anwar dalam satu sidang media menafikan beliau ialah individu dalam adegan seks itu.
Nanyang Siang Pau dalam laporannya Selasa lalu, memetik Anwar sebagai berkata dalam sidang medianya bahawa beliau juga merekodkan tulisannya dalam Twitter dan Facebook pada tempoh rakaman video itu.
Akhbar itu turut melaporkan bahawa ketika itu, wartawan yang menghadiri sidang media membuka komputer riba bagi menyemak perkara itu dan mendapati di antara jam 9 malam hingga 11 malam tiada sebarang rekod dalam Twitter.
Apabila wartawan bertanya mengenainya dan jawapan Anwar ialah “tak apa, kita ada,” kata Nanyang Siang Pau, serta ayat sama turut disiarkan Sin Chew Daily pada laporannya.
Sementara itu, sehingga semalam Anwar belum mengeluarkan salinan mengandungi maklumat kemas kini akaun Facebook dan Twitter yang didakwa dilakukan beliau pada tarikh dan masa rakaman video itu.
Bagaimanapun sehingga semalam tiada sebarang salinan dokumen itu diterima daripada pegawainya.