KUALA LUMPUR: Kerajaan mampu mengurangkan sehingga 50 peratus kos bayaran lampu jalan raya di laluan sepanjang 63.1 kilometer merangkumi tiga lebuh raya utama apabila menggantikannya dengan lampu berteknologi ''diod pemancar cahaya'' (LED) mulai hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata projek perintis itu, yang dilaksanakan dengan kerjasama syarikat teknologi lampu Royal Philips Electronics, membabitkan kawasan di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Subang, Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Lembah Klang.
Syarikat itu akan memasang lampu LED di semua laluan berkenaan dalam tempoh sembilan bulan, selain menyelenggara selama tujuh tahun, katanya kepada pemberita selepas merasmikan lampu LED keluar Philips di Petronas Subang dekat sini malam tadi.

"Projek perintis ini menepati inspirasi kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 40 peratus penggunaan karbon dan berusaha menjadikan bandar-bandar lebih hijau dengan menggunakan teknologi canggih melalui pembangunan berkesinambungan pada masa hadapan.

"Saya lihat pencahayaan lampu LED ini dapat menjimatkan bil elektrik jalan raya yang ditanggung oleh kementerian. Pada masa ini, kementerian menanggung RM26 juta setahun untuk pembayaran bil lampu biasa di semua jalan raya," katanya.

Shaziman berkata beliau juga akan meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melihat kesesuaian penggunaan lampu berkenaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT). - BERNAMA