gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Soffi Jikan (tengah) bersama Penerbit Eksekutif, Serina (kiri) dan Penerbit & Penasihat Produksi, Yusof Kelana pada majlis pelancaran Gangsterock. - Foto Syaharim Abidin

Foto

Antara artis yang terbabit pada majlis pelancaran filem Gangsterock.

YKS Film Maker cari kelainan perkenal projek filem sulung

Petang Isnin lalu, rombongan media massa dan portal hiburan, termasuk blogger hiburan dibawa menyusuri tasik di The Mines menaiki kapal DME Cruise bersempena pelancaran Gangsterock - Kasi Sengat...!, projek filem sulung terbitan YKS Film Maker Sdn Bhd - syarikat usaha sama milik Yusof Kelana dan Serina Datuk Redzuawan.
Seawal jam 3 petang lagi rakan media sudah tiba di Mines Wellness Hotel untuk berkumpul di pelabuhan dan menaiki bot yang disediakan sebelum menaiki kapal berkenaan. Cuma sayang cuaca panas terik yang mula dirasai tidak berpanjangan apabila cuaca mendung diikuti hujan mula terjadi.
Sepanjang lima tahun YKS beroperasi, kami sudah menerbitkan pelbagai program di tv dan belum berani mengambil risiko untuk menerbitkan filem." Serina

Biarpun hujan, majlis lancar seperti dirancang. Malah, filem berkenaan yang bakal diarahkan pelakon Soffi Jikan itu turut dimeriahkan kehadiran barisan pelakon yang sudah mengesahkan pembabitan mereka seperti Fauziah Nawi, Khir Rahman, Wan Hanafi Su, Syafie Naswip dan Aqasha.

Cuma, beberapa pelakon penting seperti Izara Aishah, Sharifah Amani, Namron dan Saiful Apek saja tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain. Turut sama hadir memberi sokongan ialah Datuk Yusof Haslam dan temannya, pelakon A Galak, selain Presiden GAFIM, Jurey Latiff Rosli.

“Kami cuba mencari kelainan mengadakan majlis pelancaran filem ini menaiki kapal. Ia jadi seperti simbolik kepada kami untuk memulakan pelayaran yakni proses produksi filem ini yang akan bermula dalam masa terdekat. Malah, hujan dan air tasik yang bergelora umpama cabaran yang bakal kami lalui tak lama lagi.

“Ikutkan bukan mudah untuk meyakinkan rakan kongsi saya, Yusof Kelana untuk membikin filem pertama ini. Malah, sepanjang lima tahun YKS beroperasi kami sudah menerbitkan pelbagai program di TV dan belum berani untuk mengambil risiko untuk menerbitkan filem,” kata Serina.
Bercerita lanjut lagi mengenai projek filem sulung YKS, anak kepada chef popular, Chef Wan ini memberitahu Soffi Jikan mengusulkan cadangan untuk menghasilkan Gangsterock. Ketika itu Serina sendiri cukup ghairah melihat Soffi bercerita mengenai filem berkenaan.

“Tapi apa-apapun saya tidak boleh bersetuju terus kerana perlu mendapat persetujuan daripada Yusof Kelana. Lama juga nak tunggu jawapan daripadanya. Malah ketika meyakinkannya mengenai filem ini pelbagai perkara bermain di mindanya seperti siapa pengarah dan pelakonnya.

“Beliau juga sempat berseloroh ini filem muda sedangkan dia sudah tidak muda. Soffi turut disuruh saya datang bertemu Yusof untuk menceritakan kembali mengenai filem itu. Akhirnya ia akan direalisasikan tak lama lagi. Saya juga turut meminjam semangat keluarga Datuk Yusof Haslam yang cukup terkenal dalam penerbitan filem,” kata Serina yang berjanji akan berkongsi royalti dengan semua pelakon jika filem Gangsterock berjaya di pasaran.

'Saya bukan syok sendiri'

Soffi Jikan, 43, lagak pelakon yang turut bergelar pengarah ini semestinya mencuit perhatian pada petang itu. Wajahnya mungkin nampak macam ganas hingga sering ditawarkan watak gangster dalam kebanyakan filem sebelum ini hingga sering kali diberikan watak stereotaip. Tetapi lelaki yang mula menceburi dunia seni sejak 1995 ini sebenarnya serius berbicara dan sesekali menyelit dialog lucu seperti dipersembahkannya dalam filem.

Adakalanya dia nampak begitu teruja dan beriya-iya dengan apa yang dituturkan. Sekali pandang macam cakap besar. Tetapi itulah Soffi Jikan.

Tahun lalu Soffi mengejutkan industri untuk meninggalkan dunia lakonan selepas patah hati dengan situasi industri perfileman negara. Soffi kecewa skeptikal terhadap dirinya sejak zaman bekerja di belakang tabir hingga sekarang tidak pernah berubah.

Biarpun memilih untuk meninggalkan kerjaya lakonan atau lebih sedap memperlahankan kerjaya lakonan selain menjadi lebih selektif menerima tawaran berlakon, Soffi kini sudah melebarkan sayap sebagai penyanyi dan seterusnya menjadi pengarah.

Sebelum filem Gangsterock, Soffi sebenarnya pernah mengarahkan telefilem seperti Mencari Jannah di Astro Oasis. Menurut Soffi idea menggabungkan Gangster dan Rock itu bertimbal balik kepada dua buah filem yang cukup dekat di hatinya iaitu Rock Ooo dan KL Gangster.

“Dua filem itu antara yang mengangkat nama saya. Nak kata saya rocker kental itu tak juga tapi saya membesar dengan irama rock. Saya membesar di kawasan setinggan di Kayu Ara, Taman Tun Dr Ismail. Irama rock cukup sinonim dengan saya sejak zaman itu hinggalah sekarang.

“Asalnya filem ini bermula dengan filem eksprimental saya berjudul Sengat. Malah ketika menghasilkan filem Sengat ada dua klip video dihasilkan berjudul Madu dan Kasi Sengat. Tetapi ketika itu saya berdepan dengan masalah kewangan untuk menyudahkan filem berkenaan.

“Lalu apabila ada YKS berminat, filem Sengat diserap menjadi Gangsterock. Ikutkan projek filem ini sudah diusahakan lama sejak 2008 lagi dengan melalui beberapa fasa. Filem ini memang saya tulis sendiri untuk Soffi Jikan. Filem ini pada dasarnya mengenai perjuangan rocker membanteras isu cetak rompak yang tak pernah berakhir,” katanya yang turut bertindak sebagai penerbit bersama untuk filem Gangsterock.

Baginya bukan istilah syok sendiri menghasilkan filem yang mengabadikan diri sendiri sebagai hero. Sebaliknya ia bertitik tolak kepada beberapa alasan kukuh. Malahan pemilihan pelakon juga sudah lama ditentukan menerusi proses uji bakat yang sudah dilakukan sejak pembikinan filem Sengat.

“Asalnya saya tak ada niat pun nak jadi pelakon. Ada peluang kemudian nama saya dikenali sebagai pelakon. Saya nak jadi pengarah sebenarnya. Cuma rezeki berlakon datang dulu. Hampir kebanyakan pelakon yang terbabit turut diuji bakat dulu termasuklah Sharifah Amani, Namron dan Khir Rahman. Pemilihan Izara juga atas alasan konkrit saya sendiri. Jika dapat jatuh cinta dengan seorang pelakon wanita, saya memilih untuk jatuh cinta dengannya. Dia paling layak untuk diangkat sebagai pelakon wanita kerana auranya,” katanya yang turut menyanyikan lagu Gangsterock Style ciptaannya sendiri dan diterbitkan Edrie Hashim ketika pelancaran filem ini.