Kuala Lumpur: Inisiatif Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA) menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) adalah langkah afirmatif oleh pengamal undang-undang ke arah mewujudkan ketelusan dan memastikan amalan timbang tara bebas rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata walaupun CIP adalah komitmen sukarela, pihaknya percaya badan undang-undang yang penting seperti KLRCA akan bertindak ke arah pengembangan integriti serta memastikan prinsip antirasuah ditegakkan.
Beliau berkata, langkah KLRCA itu penting bagi komuniti perniagaan dan rakyat terutama mereka yang terbabit dalam pertikaian timbang tara.

“Kami juga percaya KLRCA boleh menggunakan CIP sebagai satu kelebihan strategik untuk jangka panjang iaitu apabila muncul sebagai satu-satunya pusat timbang tara yang melaksanakan CIP. Ia juga menyokong Program Transformasi Ekonomi secara keseluruhan.

Kelebihan strategik

“Seperti ditegaskan KLRCA, menandatangani CIP adalah satu langkah ke depan dalam memastikan keyakinan dalam prosiding timbang tara di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sambil gembira kerana penyertaan KLRCA dalam CIP menunjukkan kesan ketara dalam tadbir urus mengenai prosedur timbang tara, Abu Kassim berkata, setakat ini, hampir 200 organisasi menandatangani CIP dan SPRM akan terus memantau kemajuan komitmen yang dipersetujui dan diterima oleh pihak yang menandatangani ikrar berkenaan.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, pasukan pemantau dibentuk dalam usaha SPRM memastikan mereka yang menandatangani CIP mendukung prinsip antirasuah dalam organisasi masing-masing dengan mewujudkan kesedaran lebih tinggi menerusi aktiviti serta menyokong inisiatif suruhanjaya itu dan kerajaan dalam membanteras gejala berkenaan.

“SPRM akan mengetuai pasukan terdiri daripada pegawai Jabatan Audit Negara dan Transparency International Malaysia,” katanya sambil menambah, dalam mengejar agenda antirasuah tahun ini, SPRM akan bergerak ke arah meningkatkan kerjasama dengan syarikat korporat dan agensi kerajaan untuk mengukuhkan sistem kawalan antirasuah mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata, SPRM akan mengkaji sistem dan prosedur dalam organisasi yang memerlukan perubahan dalam menangani kelemahan yang membawa kepada rasuah.

SPRM juga, katanya, gembira dengan kerjasama strategik bersama Majlis Peguam dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) serta berharap kerjasama itu dapat dilaksanakan dengan lebih kukuh.