KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan membina lapan lagi Kolej Vokasional (KV) dalam memastikan bekalan tenaga kerja teknikal di negara ini mencukupi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tiga KV itu akan dibina di Johor iaitu Tanjung Piai, Pagoh dan Pasir Gudang manakala lima lagi setiap satu di Pasir Puteh (Kelantan), Kuala Berang (Terengganu), Pekan (Pahang), Dengkil (Selangor) dan Gurun (Kedah).
"Kementerian sudah melaksanakan transformasi pendidikan vokasional secara menyeluruh iaitu proses reka semula melalui penubuhan KV menggantikan Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dan memperkenalkan Program Asas Vokasional (PAV).


"Bagi tujuan itu 15 SMV dinaik taraf sebagai Kolej Vokasional manakala 15 lagi sekolah menengah kebangsaan akan melaksanakan PAV secara rintis mulai 2012," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sabuti, Sarwak, Ahmad Lai Bujang.

Beliau berkata, bagi Sarawak terdapat 188 kekosongan di enam SMV dan sebuah Sekolah Menengah Teknik (SMT) sehingga 31 Januari lalu.

"Data 31 Januari lalu juga menunjukkan enrolmen murid di SMV, SMT dan KV adalah seramai 3,110 orang. Jumlah itu menunjukkan SMV, SMT dan KV sedia ada mampu menampung keperluan murid di Sarawak," katanya.

Mohd Puad berkata, kementeriannya akan mempertimbangkan untuk membina sebuah lagi KV di Sarawak bagi memastikan keperluan tenaga kerja dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dapat dipenuhi. - BERNAMA