KISAH santai berkisar gelagat 10 sahabat baik dan suka duka alam persekolahan terbitan Saluran Disney, Waktu Rehat, mencatat sejarah tersendiri apabila diikuti 2.08 juta penonton sejak dilancarkan pada 31 Ogos tahun lalu.

Tidak hairan, program kapsul yang bersiaran pada setiap Sabtu dan Ahad itu disambung untuk musim kedua melihatkan maklum balas di luar jangkaan, khususnya golongan sasaran berusia 4 tahun ke atas.
Menonjolkan situasi lebih dramatik, paparan musim baru bermula 12 Mac ini turut menampilkan perkembangan setiap karektor selain memperkenalkan karektor baru bernama Adam lakonan Ashmen Iskandar Weiss, yang digambarkan sebagai bakal ahli muzik berbakat besar.


Pengarah Pemasaran dan Kreatif, Disney Channels Asia Tenggara, Jennifer Ng, berkata sambutan penonton terhadap Waktu Rehat menyemarakkan semangat seluruh produksi untuk menghasilkan siri lebih bermanfaat dan menghiburkan dengan jalan cerita melucukan.

“Santai, lucu dan dekat dengan penonton membuatkan program kapsul ini mencatat jumlah rating yang tinggi setiap minggu walau pun hanya lima minit dipaparkan malah daripada Fanpage, kita dapati penggemar menyukai watak dan jalinan antara watak.

“Bagi musim baru ini, kami akan mengundang lebih ramai selebriti dalam pelbagai bidang termasuk sukan dan secara tidak langsung memperkenalkan figura terkenal serta pencapaian mereka bagi menyuntik semangat golongan sasaran,” katanya pada majlis pelancaran Waktu Rehat musim baru.

Mengulas mengenai kemunculan budak baru di Sekolah Menengah Jalan Mas, Adam, katanya episod berkenaan mempunyai pengertian tersendiri iaitu menyingkap keterbukaan masyarakat yang secara simbolik diwakili kelompok murid terbabit terhadap kehadiran orang baru.
“Kebiasaannya orang baru perlu menyesuaikan diri dan dalam episod yang turut memperkenalkan pelajar baru popular ini, situasi yang sememangnya berlaku dalam dunia realiti ditonjolkan di mana ada kalanya kelebihan membuatkan seseorang individu ditakuti hingga sukar memasuki kelompok terbabit.

“Apa pun, bukan hanya Adam, karektor lain termasuk Syed, Amirah, Faiz, Kieran, Lee Wai Chong, Suresh, Julie, Anding dan Luna juga ditonjolkan dengan segala macam konflik, namun pada pengakhiran sentiasa menggembirakan,” katanya lagi.
Program itu diadaptasi daripada siri pendek Disney Channel Itali berjudul Quelli del Intervallo atau bermaksud As The Bell Rings.

Ia juga sebahagian daripada francais antarabangsa yang memasuki pasaran global seperti Sepanyol, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan China manakala di negara ini, saluran kanak-kanak itu bekerja sama dengan Red Communications Sdn Bhd menghasilkan Waktu Rehat.

“Walaupun ia lebih dulu ‘menakluk’ negara barat, pengisian di negara ini masih disesuaikan dengan masyarakat tempatan baik dari segi skrip, pengembangan watak mahu pun situasi yang ingin dipaparkan,” kata Jennifer mengulas pengisian siri kapsul itu.

Istimewanya, populariti Waktu Rehat yang turut menyerlah menerusi laman web www.wakturehat.com hasil penambahan babak belakang tabir serta aktiviti pelakonnya, pihak produksi tidak ketinggalan berkongsi pengalaman istimewa dengan penonton menerusi penganjuran pertandingan.

Peraduan yang berlangsung pada musim pertama lalu dan dikenali sebagai Waktu Rehat... Aksi memilih pelajar Sekolah Kebangsaan Saint Mary, menyaksikan Siti Hajar Rashid, 12, muncul juara apabila mengalahkan 600 penyertaan video lain dan melayakkannya muncul sebagai undangan dalam program terbabit.

Sementara itu, pelakonnya, Nicholas Cheng, 21, yang memegang watak pengawas berusia 15 tahun berkata karektor budak sekolah yang cukup tegas dalam soal disiplin sememangnya mencabar apatah lagi perlu menjiwai watak budak belasan tahun.

“Apabila di lokasi kami sentiasa berbincang untuk menghidupkan lagi suasana. Sebagai individu yang sudah lama meninggalkan zaman persekolahan, awalnya saya agak janggal dikelilingi teman belasan tahun namun kini ia semakin menyeronokkan malah mengingatkan saya memori lama,” kata pelajar kolej itu.

Bagi pemegang watak Adam, Ashmen, 17, berada dalam ‘keluarga’ besar Waktu Rehat cukup bermakna buat dirinya kerana berpeluang bergandingan dengan mereka yang berbakat besar selain diberi kesempatan menonjolkan bakat muziknya.

“Kisah yang diketengahkan cukup menarik seperti Zombie namun dalam setiap episod kami akan menari dan menyanyi. Bukan hanya penonton yang seronok, kami di dalam set juga begitu teruja untuk menantikan setiap episod,” kata pelakon berdarah campuran Jerman, Cina, Melayu itu.