Lebur engsel mesin ATM Anggota polis dari unit forensik memeriksa mesin ATM yang dipecahkan sekumpulan lelaki di Jalan Kota. - Foto Sharul Hafiz Zam
Alor Setar: Sekumpulan penyamun melarikan RM279,490 selepas memecahkan mesin juruwang automatik di Jalan Kota, di sini, awal pagi semalam.

Kumpulan terbabit yang disyaki mahir dalam teknik kimpalan dipercayai menggunakan alat pencucuh khas untuk meleburkan engsel pada mesin ATM berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nashir Ya, berkata kejadian itu berlaku jam 4.23 pagi berdasarkan rekod daripada penggera keselamatan di premis berkenaan.

Beliau berkata, polis percaya kumpulan penjenayah itu mempunyai kepakaran dalam bidang kimpalan berdasarkan teknik peleburan digunakan mereka untuk membuka mesin ATM terbabit.

“Kita yakin kes ini membabitkan lebih daripada seorang suspek yang disyaki mengambil kesempatan kerana keadaan bilik kaca yang menempatkan mesin ATM terbabit tidak berkunci kerana beroperasi 24 jam.

“Kita yakin mereka menggunakan pencucuh kimpalan untuk meleburkan engsel berdasarkan kepada kesan ditemui pada mesin ATM itu, sebelum melarikan wang hampir RM300,000,” katanya.

Nashir berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat bank berkenaan, selain mengumpulkan keterangan daripada saksi bagi membantu siasatan.
“Polis tidak dapat memastikan sama ada kes ini mempunyai hubung kait dengan kes terdahulu yang berlaku di kawasan Simpang Kuala di sini, tahun lalu yang mempunyai modus operandi hampir sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis untuk membantu siasatan,” katanya.