Tertuduh, Mohd Azuwa Talib, 25, diperintah menjalani hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas didapati bersalah membunuh mentuanya, Armen Suardi, 55, di rumah nombor 51, Jalan Bendahara 3, Bandar Tenggara, antara jam 2.30 petang 8 November hingga 5.20 pagi 9 November 2010.
Buktikan kes prima facie
Hakim Samsudin Hassan, mendapati tertuduh bersalah selepas pihak pendakwaan diketuai Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya, Jasmee Hameeza Jaafar, membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan berkenaan.
Samsudin berkata pembelaan oleh tertuduh yang diwakili peguam bela, Ruhaizamin Johari dan Ummu Aiman Azizan, juga tidak menepati nas undang-undang, selain gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan dihadapinya.
“Dua tikaman pada badan dan satu di kepala yang menembusi tengkorak serta otak mangsa, jelas membuktikan kejadian itu bukan satu kemalangan, sebaliknya dilakukan dengan sengaja oleh tertuduh.
“Malah, bukti juga menunjukkan serangan si mati pada hari kejadian juga tidak boleh memberi sebarang kecederaan kepada tertuduh. Pergaduhan antara tertuduh dan si mati juga bukan sesuatu yang baru,” katanya.
