Lelaki maut  tersepit  di tingkap Tingkap bahagian dapur di mana mangsa, Shaerol (gambar kecil) ditemui meninggal dunia akibat sesak nafas selepas tersepit di tingkap berkenaan di sebuah rumah di Taman Saz dekat Ipoh.
Ipoh: Seorang lelaki maut selepas tersepit di tingkap dapur rumah jirannya di Taman Saz, Silibin, di sini, malam kelmarin.

Shaerol Damanhuri, 27, dipercayai sesak nafas selepas gagal meloloskan diri menerusi tingkap berpalang besi di rumah jirannya itu sekitar jam 11 malam, dengan hanya berseluar pendek.
Pemilik rumah terbabit yang mahu dikenali sebagai Chen, 56, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan kesakitan seorang lelaki dari arah dapur rumahnya.

“Saya baru pulang ke rumah selepas membantu isteri berniaga di Pasir Putih. Saya terdengar jeritan meminta tolong dari arah belakang rumah dan selepas diamati saya terkejut apabila mendapati seorang lelaki sedang kesakitan tersepit di palang besi tingkap.

“Saya terus menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian itu. Pada mulanya saya sangkakan lelaki itu warga asing tetapi selepas dilihat dengan lebih dekat rupa-rupanya anak jiran yang hanya tinggal selang dua rumah dari rumah saya,” katanya.

Beliau berkata, beberapa minit kemudian polis tiba dan berjaya mengeluarkan lelaki itu tetapi mangsa didapati sudah meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas kerana tersekat terlalu lama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kira-kira jam 11.30 pagi dan anggota polis yang bertugas tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.
“Mangsa ketika itu hanya memakai seluar pendek manakala pakaian dan kasutnya diletakkan di tepi kaki lima bahagian luar dapur rumah dipercayai bagi memudahkan dia menyelinap masuk menerusi tingkap berkenaan.

“Polis terpaksa memotong palang besi tingkap terbabit bagi mengeluarkan badan mangsa. Bagaimanapun, mangsa didapati sudah meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat,” katanya.