Lesen untuk guru MOHD Puad (dua dari kiri) beramah mesra dengan ibu bapa sambil diperhatikan Ketua Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Husin (kiri) selepas majlis perasmian mesyuarat PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Kemumin Pengkalan Chepa, semalam.
Syarat mengajar bagi pelihara integriti profesion

KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran menimbang untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan, seperti doktor, peguam dan akauntan, bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata lesen perguruan itu telah dilaksanakan di Kanada dan sudah tiba masanya Malaysia menimbangkannya secara serius.

“Isu integriti menjadi perhatian kementerian saya dan perlu dicari satu kaedah bagaimana hendak mengekalkan integriti perguruan. Oleh itu, ada cadangan kita kaji atau lihat sama ada guru perlu ada lesen perguruan seperti doktor, peguam atau akauntan.

"Mereka perlu ada lesen, kalau langgar peraturan profesion mereka, lesen berkenaan akan ditarik balik dan tidak boleh membuat amalan pekerjaan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Pengkalan Chepa, semalam.

Mohd Puad berkata demikian ketika mengulas kes seorang guru mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di Sibu, Sarawak, ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka.

Perbuatan guru berusia 32 tahun itu dikatakan bermula Mac lalu, tetapi semua mangsa termasuk seorang murid Tahun Enam yang juga adik iparnya, hanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Rabu lalu.
Mohd Puad berkata, kementerian memandang serius kejadian seumpama itu kerana sekiranya integriti guru tercemar, masyarakat akan hilang kepercayaan kepada guru.

Beliau bagaimanapun berkata, cadangan memperkenalkan lesen perguruan masih di peringkat awal dan belum dikemukakan ke Kabinet.

“Kajian juga belum dibuat kerana benda ini bukan mudah, ia membabitkan 390,000 guru di negara ini. Namun, kementerian sedang berusaha untuk menerokainya demi menjaga kepentingan profesion perguruan,” katanya.