Kuala Lumpur: UiTM Perlis menganggap menentang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, esok adalah detik penentuan hala tuju mereka untuk muncul juara baru Divisyen Satu bola sepak Liga Institusi Pengajian Tinggi – Liga IPT – yang memasuki pusingan kedua.

Selepas beraksi lapan perlawanan, skuad bimbingan bekas pemain Piala Malaysia Perlis dan Kedah, Manja Man itu berada di tangga kedua dengan 17 mata – dua mata di belakang 'abang', UiTM Shah Alam yang sudah bermain sembilan perlawanan.
Manakala pencabar terkuat, UKM di tangga ketiga dengan 15 mata tetapi baru harungi tujuh perlawanan.


"Kami akan melalui minggu memenatkan kerana selepas menentang UKM, kami berdepan Universiti Multimedia (MMU) pada Selasa sebelum bertemu Universiti Malaya (UM) Sabtu depan," kata Manja yang menjulang pasukannya menjuarai Divisyen Dua musim lalu.

"Saya nampak jika kami dapat menewaskan UKM, peluang untuk muncul juara adalah besar. Tetapi saya percaya ia bukan mudah kerana ada banyak perlawanan lagi. Menentang UM minggu depan juga getir. Kami tewas 2-3 pada pertemuan pusingan pertama di Arau,” katanya.

Jadual perlawanan
- PKB mln UiTM Shah Alam (Std Ketereh, 4.45 ptg)
- MMU mln UM (Cyberjaya, 4.45 ptg) - KK Kedah mln UTeM (Std Jitra, 4.45 ptg)
- UKM mln UiTM Perlis (Bangi, 8.45 mlm)