APAKAH mesej daripada kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan Parlimen Batu Sapi, 4 November lalu?
Apakah ini kesan transformasi UMNO atau rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap pakatan pembangkang? Sentimen lain yang memaut hati pengundi mungkinkah kerana siri program transformasi Datuk Seri Najib Razak. Bagaimana pula kemelut dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kelebihan kepada BN?
Sebenarnya ada pelbagai andaian, alasan mahupun faktor yang memberi kemenangan BN tempoh hari. Bertanding untuk menggapai kerusi daripada tangan lawan bukan kerja mudah. BN bertandang di DUN Galas, sama seperti BN masuk ke Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu. Namun BN tampil di dua gelanggang pilihan raya itu dengan pakej tersendiri. Hasilnya, calon BN menang dengan majoriti lebih besar.
Untuk kemenangan di DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi, lima elemen dalam pakej BN dikemukakan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, yang menyumbang kepada kemenangan itu. Pertama, keyakinan rakyat kepada pucuk kepemimpinan kerajaan khususnya Najib dibantu timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pasukan jentera parti.
“Ini pernyataan keyakinan rakyat kepada pucuk kepemimpinan kita (BN) yang boleh melaksanakan tugas dan membawa negara ini ke arah lebih baik,” katanya ketika ditemui.
Elemen kedua, keyakinan rakyat kepada dasar baru yang dibawa Najib. Pengundi di lokasi terbabit mula faham hasrat Perdana Menteri antaranya gagasan 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang banyak memberi manfaat kepada rakyat.
“Lebih penting, rakyat boleh bergantung harap kepada dasar itu. Contohnya, bagi kaum Cina, melalui gagasan 1Malaysia mereka berasakan lebih dihargai, manakala orang Melayu berasakan hak dan keistimewaan mereka masih kekal,” katanya.
Elemen ketiga, kata Ahmad, perakuan rakyat bahawa hanya Kerajaan Pusat yang mampu membangunkan Gua Musang dan Sandakan.
“Selama ini terbukti banyak projek pembangunan dibawa kedua-dua kawasan itu dan yang penting rakyat mahu pembangunan seterusnya dilaksanakan BN di situ,” katanya sambil memberi contoh, penduduk mahu Projek Perumahan Rakyat di Gua Musang dan rangkaian jalan raya di Batu Sapi.
“Mereka nampak ketidakupayaan pembangkang untuk melaksanakan pembangunan,” katanya.
Elemen keempat ialah kombinasi mantap membabitkan Pengarah Pilihan Raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah dan timbalannya, Datuk Seri Mustapa Mohamed di DUN Galas serta Pengerusi Bersama, Datuk Seri Musa Aman dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama calon serta jentera BN di Batu Sapi.
“Antara kejayaan jentera BN ialah sayap penerangan yang menggerakkan media cetak dan media maya serta SMS,” katanya sambil memberitahu siri ceramah, tazkirah dan sembang petang (kempen dari pintu ke pintu).
Elemen kelima ialah terhakisnya kepercayaan rakyat terhadap parti pembangkang.
“Kenapa terhakis? Tengok saja bagaimana keupayaan PKR mengendalikan proses pemilihan parti itu yang kelam kabut, bertumbuk, membaling kerusi dan akhirnya ada calon yang tidak mempercayai proses itu.
“Pada masa sama, UMNO dilihat melakukan banyak perubahan dan hasil Perhimpunan Agung UMNO sangat meyakinkan rakyat. Akhirnya, minat mereka kembali (kepada UMNO). MCA juga semakin meyakinkan,” katanya sambil menyifatkan gabungan PAS dan DAP yang sangat sumbang sekali gus menghakis sokongan terhadap calon PAS di Galas.
“Akhirnya, gabungan kelima-lima elemen ini memberi kesimpulan kepada pengundi bahawa adalah lebih baik mereka menyokong calon BN,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim, berkata: “Mesej ini jelas. Sokongan akan berterusan selagi kita dapat membuktikan kejujuran dan keikhlasan untuk berkhidmat.”
Sebaliknya, kata beliau, kemenangan itu tidak boleh dijadikan penanda aras pengekalan sokongan rakyat kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang melainkan BN terus bekerja keras dan bersungguh menunaikan amanah diberikan.
“Namun ia (kemenangan itu) sesuatu yang sangat baik kerana sekurang-kurangnya ia menyuntik semangat untuk kita terus berkhidmat dan berbakti kepada rakyat,” katanya.