Dalam kejadian jam 11.40 malam berhampiran bangunan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu, semua mangsa yang terbunuh dikatakan dalam perjalanan pulang ke Beaufort selepas menghadiri ceramah politik di Tuaran.
Mangsa yang maut ialah Ramsin@Taminsin Pahang, 59, isterinya Siti Runi Tarawi, 55, pasangan kedua, Asan@Hassan Jimi, 55, isterinya Saimah Jamin, 51, dan seorang lagi Taripan Bintaman, 53.
Difahamkan, kejadian bermula apabila sebuah Naza Ria dari arah lampu isyarat Universiti Teknologi MARA (UiTM) terbabas dan memasuki laluan bertentangan selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah Mitsubishi Triton.
Susulan itu, Naza Ria terbabit bertembung dengan pacuan empat roda Isuzu Invader dinaiki kelima-lima mangsa yang datang dari bulatan Sepanggar menghala pusat bandar.
Kenderaan mangsa kemudian dirempuh pula sebuah lagi pacuan empat roda jenis Toyota Vigo dari arah sama yang tidak sempat mengelak.
Akibat kemalangan itu, kelima-lima mangsa maut di lokasi kejadian kerana kecederaan teruk di badan dan kepala, manakala pemandu Naza Ria, Chong Chee Kiong, 23, serta dua penumpangnya, Sheena Pafrick, 28, dan Lily Govinjen, parah dan menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH).
Pemandu Toyota Vigo terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun, yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sedang mengesan pemandu Mitsubishi Triton yang dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu.
Kesemua mangsa yang terbunuh dihantar ke QEH untuk bedah siasat. Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.
Sementara itu, pemandu Toyota Vigo, Azman Abdul Hafis, 37, berkata dia terkejut apabila melihat kenderaan dinaiki lima mangsa di depannya bertembung dengan kenderaan dari laluan bertentangan.
