gambar sebelum  gambar berikut
Foto

Foto

Penerbangan Malaysia (MAS) menawarkan liputan meluas membabitkan kira-kira 60 destinasi di seluruh dunia menerusi tawaran Global Explorer Round-The-World-Fare oleh pakatan oneworld® termasuk rangkaian yang paling menarik di Asia Tenggara.

Menerusi liputan terbabit, lebih 20 bandar di dalam rangkaian MAS di Asia Tenggara termasuk Brunei dan Myanmar akan menjadi sebahagian daripada tawaran Global Explorer sekali gus mengembangkan lagi operasi MAS ke lebih 800 destinasi di hampir 150 negara.
Antara beberapa destinasi yang ditawarkan di dalam Global Explorer ialah Johor Bahru, Langkawi dan Kuching di Malaysia; bandar Yangon, Myanmar; Medan, Indonesia dan Siem Reap, Kemboja.


Global Explorer ditawarkan kepada semua laluan yang disediakan oleh ahli oneworld seperti American Airlines, British Airways, Cathay Pacific, Finnair, Iberia, Japan Airlines, LAN, Malév Hungarian Airlines, Qantas, Royal Jordanian dan S7 Airlines termasuk kira-kira 20 syarikat penerbangan lain iaitu LAN Argentina, LAN Ecuador, LAN Peru, Dragonair dan Comair.

Selain itu, syarikat penerbangan yang bukan ahli oneworld iaitu Aer Lingus, Air Pacific, Alaska Airlines dan Gulf Air serta Meridianafly turut menyediakan tawaran tambang Global Explorer.

Global Explorer menawarkan tawaran mudah, fleksibel dan nilai terhebat untuk perjalanan ke seluruh dunia bagi tempoh sehingga setahun.

Tawaran ini terdiri dari empat pilihan untuk perjalanan kelas ekonomi, manakala salah satunya boleh juga digunakan untuk perjalanan kelas pertama dan perniagaan. Namun bukan semua pilihan ditawarkan di semua negara.
Bagi pelanggan dari Malaysia, Global Explorer menawarkan tambang berdasarkan empat pilihan dengan pilihan pertama membabitkan tambang kelas ekonomi yang meliputi lima bandar di seluruh dunia manakala pilihan keempat adalah bagi tambang kelas ekonomi meliputi had maksimum 15 bandar.

Tambang untuk kanak-kanak (umur antara dua hingga 11 tahun) dan bayi (umur sehingga 23 bulan) masing-masing dikenakan sebanyak 75 dan 10 peratus daripada tambang dewasa.

Tempahan dan tiket bagi tambang terbabit boleh dilakukan menerusi pejabat tiket MAS dan ahli oneworld termasuk syarikat penerbangan berkaitan. Ia juga boleh diperolehi menerusi ejen yang dilantik oleh syarikat penerbangan berkenaan.

Apa yang menarik mengenai tawaran tersebut, ialah setiap pemegang tiket dewasa dan kanak-kanak dibenarkan mendaftar masuk secara percuma, dua bagasi dengan berat sehingga 23 kilogram setiap satu.

Aspek lain adalah kesahihan tambang. Walaupun kesahihan perjalanan bagi semua peringkat adalah 10 hari, namun kesahihan maksimum membolehkan perjalanan disempurnakan di dalam tempoh setahun dari tarikh penerbangan sektor pertama.

Ia menunjukkan langkah pertama MAS ke arah menjadi ahli penuh oneworld pada 1 Februari 2013. Selepas itu, MAS akan menawarkan tambang serta, perkhidmatan lain dan manfaat pakatan world kepada pelanggan.