MMC Corporation Bhd (MMC) bercadang menjadikan Aliran Ihsan Resources Bhd (AIRB) syarikat milik penuhnya, dengan menawarkan pemegang saham syarikat konsesi rawatan air itu pembayaran balik modal RM1.84 sesaham membabitkan sejumlah RM181.12 juta.

Harga tawaran itu sembilan sen atau 5.14 peratus lebih tinggi daripada harga penutup saham AIRB Jumaat lalu, sebelum digantung urus niaga semalam, bagi memberi laluan kepada pengumuman berkenaan.
MMC ketika ini memiliki 166.3 juta saham atau 62.82 peratus pegangan dalam AIRB. Berdasarkan laporan tahunan 2011 AIRB, antara pemegang saham utama lain AIRB ialah Lembaga Tabung Haji, Effective Strategy Sdn Bhd dan Public Dividend Select Fund.



MMC dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia berkata, ia sudah menghantar surat berhubung cadangan itu kepada Lembaga Pengarah AIRB semalam.

Surat berkenaan katanya, menggariskan hasrat MMC menjadikan AIRB syarikat persendirian menerusi langkah pengurangan modal secara berpilih (SCR) dan pembayaran balik modal kepada pemegang saham.

Pemegang saham tunggal
Apabila cadangan itu dilaksanakan kelak, MMC akan muncul pemegang saham tunggal AIRB dan dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia.

“Cadangan pengurangan modal secara berpilih dan pembayaran balik modal akan mengecilkan modal terbitan dan berbayar AIRB daripada RM264.74 juta membabitkan 264.7 juta saham kepada RM83.62 juta merangkumi 83.62 juta saham.

“Ia akan dilaksanakan dengan pembatalan 181.12 juta saham AIRB yang terdiri daripada semua baki saham milik pelabur AIRB, selain daripada MMC.

“Apabila selesai kelak, MMC akan memiliki 83.62 juta saham mewakili semua modal terbitan dan berbayar AIRB, justeru menjadikannya pemegang saham tungga,” kata kenyataan berkenaan.

MMC menjelaskan, sejajar pembatalan 181.12 juta saham berkenaan, pemegang saham AIRB lain akan menerima pembayaran balik modal keseluruhan berjumlah RM181.12 juta.