Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Pengumuman Malaysia jadi tuan rumah Sukan SEA 2017 tanpa berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan

DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek ‘terkejut’, semalam apabila tampil bersuara apakah Malaysia sudah bersedia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.
Tambah perit, Menteri Belia dan Sukan itu seperti hairan apabila Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi membuat pengumuman itu terlalu awal dan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan Kementerian Belia dan Sukan.

Apa pun katanya, beliau akan membantu mengusulkan perkara itu ke Kabinet kerana penganjurannya membabitkan perbelanjaan besar tambahan pula tempoh lima tahun tidak cukup untuk menyediakan keperluan untuk kejohanan berprestij itu.

“Perkara ini boleh saya usulkan di Kabinet tetapi saya tidak boleh memberi sebarang jaminan... sebagai contoh saya pernah membawa cadangan MOM ke Kabinet untuk menjadi tuan rumah Sukan Asia 2019 tetapi tidak diterima kerana membabitkan kos tinggi.

“Sepatutnya ia tidak diumumkan awal sekiranya kita mahu menggunakan wang kerajaan tambahan pula ia membabitkan perbelanjaan amat tinggi kecuali MOM mempunyai perancangan membabitkan banyak pihak swasta untuk penajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan di Dewan Komanwel, Bukit Jalil, semalam.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan Mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Myanmar pada 14 Julai lalu mengesahkan giliran Malaysia untuk menjadi tuan rumah sukan dwitahunan serantau itu pada 2017 berikutan tiada negara yang bersedia menawarkan diri sebagai tuan rumah.

Kok Chi, yang menghadiri mesyuarat itu, berkata Sukan SEA 2013 akan diadakan di Myanmar dan selepas itu Singapura pula akan menjadi tuan rumah kejohanan pada 2015.

Katanya, sepatutnya selepas itu giliran Brunei tetapi negara berkenaan mahu menjadi tuan rumah pada 2019, oleh itu, Malaysia bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA 2017.

Terdahulu, Ahmad Shabery berkata, usaha membangun industri sukan akan diteruskan meskipun Tahun Industri Sukan 2011/2012 berakhir bulan ini.