MRT Corp buka 31 pakej tender

MRT Corp buka 31 pakej tender

2012/07/05

MASS Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) akan membuka tender bagi bagi 31 pakej kerja MyRapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang dalam suku ketiga ini.

Pengarah Perhubungan Strategik dan Perhubungan Awamnya, Amir Mahmood Razak, berkata 85 kontrak disediakan dengan 33 bernilai RM15.5 bilion sudah diagihkan, 21 sedang dinilai dan 31 masih belum dibuka tendernya.

“Kami merancang untuk menyerahkan empat pakej dalam suku semasa dengan kontrak terbesar ialah pakej pembekalan gerabak bernilai RM1.6 bilion, yang diumumkan tidak lama lagi.

“Semua pakej akan diagihkan menjelang akhir tahun,” katanya kepada media selepas taklimat mengenai pembinaan jejambat V1 dan Depoh Sungai Buloh (DPT1) projek prasarana mega itu di Kuala Lumpur, semalam.

Dilaporkan tiga syarikat sudah mengemukakan tender untuk membekalkan gerabak, iaitu Changchun Railways Vehicle Co Ltd, Siemens SMH Rail Consortium dan CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd.

Selain projek gerabak itu, kata Amir, MRT Corp juga sedang menimbang untuk mengagihkan pakej jejambat Taman Mesra-Kajang dan pakej depoh Kajang dalam suku ini.

Landasan Sungai Buloh-Kajang, iaitu yang pertama daripada projek prasarana MRT mega itu, dianggarkan menelan kos RM30 bilion.

Kerja bagi landasan sepanjang 51km, yang melalui 31 stesen dan memberikan perkhidmatan kepada 1.2 juta di sepanjang laluan itu, sedang berjalan lancar.