Malaysia Kuning, Biru galas cabaran negara
Dua pasukan - Malaysia Kuning dan Malaysia Biru bakal membawa cabaran negara pada kejohanan bola sepak B-13 Piala ASEAN Yamaha 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Jumaat hingga Ahad ini.
Malaysia Kuning diwakili skuad B-13 negara dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang dibimbing jurulatih Haris Lajid, manakala Malaysia Biru pula gabungan pemain terbaik dari Liga 1Malaysia Cardiff City (1MCC) dengan dibimbing koordinator kejurulatihan teknikal 1MCC, Matt Holland.
“Malaysia Kuning dibarisi kesemua pemain SSBJ yang sudah dikumpul sejak awal tahun ini untuk menyertai Liga KPM B-14. Dari segi pendedahan, kami cukup bersedia,” kata Haris pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Holland pula berkata: “Semua pemain dipilih untuk Malaysia Biru adalah yang terbaik. Kami tak gentar, malah saya yakin mereka mampu melakukannya.”
“Tiada hadiah wang tunai, hanya piala pusingan. Apa yang lebih penting, maruah negara dan ia platform terbaik buat pemain muda,” kata Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Hong Leong Yamaha, Leong King Choon.