pix_gal0
Malaysia muncul negara kedua paling dinamik untuk perniagaan berkembang maju di kalangan 10 negara anggota ASEAN selepas Singapura.

Mengikut laporan Indeks Dinamik Global (GDI) Grant Thornton yang dikeluarkan semalam, secara keseluruhannya, negara berada di kedudukan ke-23 terbaik pada peringkat global.
Rakan Pengurusan SJ Grant Thornton, Datuk N K Jasani, berkata kedudukan Malaysia itu adalah hasil penilaian yang dibuat dalam bidang utama seperti persekitaran operasi perniagaan, ekonomi dan pertumbuhan serta persekitaran pembiayaan.

“Keseluruhannya, Malaysia merekodkan 58.9 mata dengan bidang persekitaran operasi perniagaan menyumbang 74 mata, diikuti bidang ekonomi dan pertumbuhan 72.3 mata, dan persekitaran kewangan 57.7 mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Kaji selidik GDI

Dinamik merujuk perubahan yang dibuat dalam ekonomi sesebuah negara sehingga membolehkannya pulih daripada masalah kemelesetan pada 2008-2009.

Ia turut merujuk pencapaian atau kebolehan sesebuah ekonomi untuk kemungkinan mencatatkan kadar pertumbuhan pantas pada masa depan.
Kaji selidik GDI yang dibuat bersama Economist Intelligence Unit (EIU) iaitu cabang maklumat perniagaan The Economist Group itu, menyusun dan mengiktiraf sesebuah negara itu mengikut tahap dinamik ekonominya dalam lima bidang utama iaitu persekitaran operasi perniagaan; ekonomi & pertumbuhan; sains dan teknologi; modal insan; dan persekitaran pembiayaan.

Dari segi penilaian untuk kawasan, rantau Nordic (Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden) diiktiraf destinasi paling dinamik di dunia dengan jumlah keseluruhan 66.1 mata.

Eropah Timur 55.7 mata

Ia diikuti Amerika Utara (62.9) dan negara kumpulan tujuh ekonomi terbesar (G7) iaitu Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada (59.6).

Negara rantau Eropah Timur pula meraih pungutan 55.7 mata, negara kumpulan pertumbuhan lapan ekonomi iaitu Brazil, China, India, Indonesia, Mexico, Russia, Korea Selatan dan Turki (55.0), Amerika Latin (53.8), Asia Barat dan Afrika (51.0). Eropah Barat mencatat purata 59.2 mata, diikuti Eropah Timur (55.7 mata) dan Asia Pasifik (59.3).

Walaupun Malaysia satu anak tangga di belakang Singapura, negara mempunyai prospek perniagaan dinamik yang semakin meningkat, khususnya persekitaran operasi perniagaan yang baik dengan rejim dan kawalan perdagangan serta pertukaran asing dibangunkan dengan baik sekali.