Malaysia mengatasi negara anggota ASEAN lain dalam Indeks Keselamatan Makanan Global.

Mengikut DuPont Malaysia, indeks itu yang ditetapkan oleh Unit Risikan Ahli Ekonomi dan ditaja oleh Dupont, menangani faktor asas ketidakstabilan makanan di 107 negara, serta membuat cadangan pembaikan dan pembaharuan.
Pengarah Urusan Dupont Malaysia, Ong Ewe Hock, berkata syarikat itu komited melabur AS$10 bilion (RM32.3 bilion) dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memperkenal 4,000 produk baharu sebagai satu daripada matlamat jaminan makanan globalnya.

Komitmen Dupont ini diumumkan dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Kedudukan Jaminan Makanan Daripada Perspektif Global’ pada Persidangan Halal Sedunia 2014 selama dua hari di Kuala Lumpur yang berakhir, semalam.

Guna kemampuan saintifik

Ong berkata, jaminan makanan adalah cabaran global, dengan Dupont menggunakan kemampuan saintifik untuk menanganinya.

“Kami sudah mengubah portfolio untuk memberi penekanan dalam memastikan pertumbuhan dan tawaran bernilai tinggi untuk industri pertanian dan zat pemakanan.
“DuPont mempunyai kelebihan dalam aspek jaminan makanan berikutan ia melakukan inovasi terhadap keseluruhan rangkaian nilai makanan yang membolehkan kami memenuhi keperluan pemakanan penduduk dunia yang semakin bertambah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengikutnya, jalan penyelesaian bersama perlu dilaksanakan bagi menangani sepenuhnya kebuluran dan isu seperti kemampuan membeli makanan, kesediaan, khasiat pemakanan dan keselamatan. - BERNAMA