Malaysia peneraju bina, baik pulih kapal Industri bina dan baik pulih kapal di Malaysia menyumbang RM6.35 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2020. - Foto hiasan
Peserta utama segmen kecil, sederhana global menjelang 2020

MALAYSIA bakal muncul peserta utama industri pembinaan dan baik pulih kapal bersaiz kecil dan sederhana global menjelang 2020.

Naib Presiden Kanan Bahagian Perisikan Industri Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), Datuk Ir Kamarulzaman Zainal, berkata ia disandarkan kepada kelancaran pelaksanaan Rancangan Strategi Pembinaan dan Baik Pulih Kapal Malaysia 2020 (SBSR 2020) sejak ia dilancarkan dua tahun lalu.
Beliau berkata, strategi negara ini adalah memberi tumpuan khusus kepada pembangunan kapal bersaiz kurang 120 meter, terutama jenis kapal sokongan pesisir (OSV), bertujuan memanfaatkan aktiviti berkaitan minyak dan gas di perairan serantau yang dijangka akan lebih pesat dalam jangka sederhana susulan komitmen perbelanjaan modal yang besar melebihi RM180 bilion dalam kalangan peserta industri minyak dan gas.

"Malaysia sendiri memerlukan sekitar 200 unit OSV pelbagai kategori untuk menyokong aktiviti minyak dan gas PETRONAS dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya dalam satu temubual di Langkawi, baru-baru ini.

Kamarulzaman berkata, kapal bersaiz kecil seperti tongkang, bot penunda dan bot bersaiz kecil lain mendominasi aktiviti pembinaan kapal pada 2011, menyumbang 74 peratus daripada 283 kapal dikeluarkan bernilai RM1.37 bilion.

"OSV yang mewakili hanya 10 peratus pembinaan kapal baru pada tahun itu, menyumbang RM2.25 bilion. Kita tidak membangunkan kapal bersaiz besar kerana beberapa faktor, antaranya persaingan daripada syarikat gergasi dari Korea dan Jepun yang mendominasi segmen itu, selain ia sejajar dengan pembangunan aktiviti pesisir pantai minyak dan gas," katanya.

Pengumuman PETRONAS baru-baru ini bahawa ia bersama kontraktor perkongsian pengeluarannya akan membelanjakan RM183 bilion sebagai perbelanjaan modal untuk tempoh lima tahun akan datang bakal mencetuskan kerancakan aktiviti di perairan negara yang memerlukan sokongan daripada keupayaan OSV.
Kamarulzaman berkata, selain itu beberapa negara ASEAN, termasuk Singapura dan Malaysia sedang dalam proses mengembangkan pelabuhan di negara masing-masing untuk meningkatkan keupayaan mengendalikan trafik, sekali gus membantu pertumbuhan industri itu.

Malaysia katanya, memerlukan kira-kira 1,300 jurutera marin dan arkitek kapal serta lebih 2,300 juruteknik dan mekanik menjelang 2020.

Industri pembinaan dan baik pulih kapal di Malaysia dijangka menyumbang RM6.35 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang 2020.

"Ia memerlukan pendekatan menyeluruh daripada semua peserta bermula daripada peringkat perancangan dan reka bentuk," kata Kamarulzaman.