Kuala Lumpur: Pihak berkuasa New Zealand mengesahkan ramuan formula Premix infant atau formula follow-on, yang mengandungi whey protein concentrate (WPC80), yang disyaki tercemar dengan bakteria botulism tidak dieksport ke negara ini.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman, berkata hasil siasatan kementerian terhadap 16 syarikat berkaitan, termasuk Fonterra Malaysia Sdn Bhd juga mendapati mereka tidak menggunakan ramuan WPC80 yang tercemar itu.
“Namun begitu, sehingga kini pihak berkuasa New Zealand masih belum dapat mengesahkan produk Nutricia Karicare Stage 1 Infant Formula dan Nutricia Karicare Stage 2 Follow-on Formula telah dieksport ke Malaysia.

Perlu pengesahan

“Produk itu tidak dibenarkan diimport ke negara ini, melainkan dengan pengesahan daripada pihak berkuasa negara pengeksport bahawa produk itu bebas daripada bakteria botulism,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pengguna boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM di talian 03-88833652/03-88833653 atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my, sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan.

Sementara itu, Danone Dumex (Malaysia) Sdn Bhd menafikan mengeluarkan pemberitahuan penarikan balik semua produk tenusunya akibat pencemaran bakteria.
Dalam satu kenyataan semalam, syarikat itu hanya mengambil keputusan berjaga-jaga dengan menarik beberapa kumpulan produk Dumex Dupro Step 2, Mamex Cherish Step 1, Mamex Explore 2 dan Bebelac 2, yang dikhuatiri tercemar selepas menerima maklumat berkenaan daripada Fonterra.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan Danone Dumex tidak terbabit dengan sebarang pencemaran dan penarikan yang dilakukan adalah sebagai langkah proaktif sukarela,” katanya.

Maklumat syarikat itu boleh diakses menerusi talian Careline 1 800 38 1038.

Tiada produk tercemar

Ssemua produk Danone Dumex melalui pelbagai ujian yang ketat dan setakat ini tiada kumpulan produk yang menunjukkan tanda-tanda tercemar.

Ia menjelaskan, kemungkinan protein pekat (WPC80) hanya terhad kepada kumpulan tertentu Dumex Dupro Step 2, Mamex Cherus Step 1, Mamed Explore 2 dan Bebelac 2.

“Semua kumpulan lain benar-benar selamat untuk dimakan dan semua produk lain dari Danone Dumex juga selamat,” tambah kenyataan itu.

Ahad lalu, New Zealand menarik balik lebih 1,000 tan produk tenusu dari tujuh negara, termasuk Malaysia selepas produk tenusu terbabit disahkan tercemar dengan sejenis bakteria yang menyebabkan botulism iaitu keracunan makanan serius.

Produk tercemar itu, termasuk susu formula bayi, minuman sukan, minuman protein dan minuman lain keluaran Fonterra, syarikat tenusu keempat terbesar dunia.