KUALA LUMPUR: Kebolehan dan kemampuan wanita dalam menjadi tonggak pentadbiran negara dilihat setanding kaum lelaki malah golongan wanita kini diberi pengiktirafan sewajarnya menerusi manifesto Barisan Nasional (BN).

Bagi tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, pembabitan wanita dalam pentadbiran negara wajar diberi perhatian khusus kerana wanita masa kini semakin berpelajaran malah mereka bersedia memikul tanggungjawab sebagai pembuat keputusan di peringkat nasional.
Katanya, dasar kerajaan sentiasa membela nasib golongan wanita sejak 55 tahun dahulu dan kini wanita masih menjadi keutamaan dalam meningkatkan taraf hidup mereka.

Prof Ramlah turut menyeru wanita supaya lebih yakin dengan diri sendiri kerana kerajaan sejak dahulu hingga kini terus mempercayai kebolehan wanita malah pencapaian golongan itu sejak dahulu banyak didorong oleh kerajaan memerintah yang memperjuang dan membela nasib wanita.

"Maka wanita perlu diberi pengiktirafan dan peluang untuk terus membangunkan ekonomi mereka agar dapat membantu meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), yang juga penganalisis politik, Datuk Dr Zainal Kling, berkata peranan wanita pada masa kini perlu diperkukuh kerana mereka lebih banyak berdikari dan mampu bergerak seiring dengan kaum lelaki.

Katanya, manifesto BN yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lalu dilihat sangat menyeluruh termasuk pelan yang sedang dan akan dilaksana terutama dalam membantu mempertingkatkan taraf hidup golongan wanita.
Mengulas mengenai pembangunan dan penglibatan wanita dalam isu masa kini, Dr Zainal berkata golongan itu sewajarnya diberi perhatian yang lebih khusus memandangkan wanita juga boleh menjadi seorang pemimpin yang baik dan penyumbang kepada ekonomi negara.

Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada golongan wanita adalah mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan bagi menambah pendapatan wanita, mewujudkan lebih banyak insentif bekerja dari rumah dan menambah jumlah wanita yang terbabit dalam proses membuat keputusan nasional.

Selain itu, aku janji bertemakan 'Menepati Janji Membawa Harapan' itu juga akan menggalakkan kesamaan gender untuk memaksimumkan potensi rakyat Malaysia dalam semua bidang tanpa mengira jantina.

Manifesto itu juga akan menghapuskan gangguan seksual dan penderaan di rumah dan tempat kerja selain berjanji akan membuka pusat Asuhan 1Malaysia di semua pejabat kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta menggalakkan sektor swasta melakukan perkara yang sama.
-- BERNAMA