Mutakhir

Masyarakat Dayak diseru elak beri reaksi keterlaluan

PAKAN: Masyarakat Dayak diseru supaya mengawal diri daripada memberi reaksi secara keterlaluan terhadap sesuatu isu yang membabitkan mereka.

Seruan itu dibuat Menteri Pembangunan Sosial negeri, Tan Sri William Mawan Ikom, yang terpilih sebagai Ahli parlimen Saratok pada pilihan raya umum baru-baru ini.
Mawan, seorang menteri kanan daripada masyarakat tersebut, berkata beliau dapati sikap yang tidak menguntungkan itu kini turut diamalkan golongan berusia, belia dan intelek.


"Kita memberi reaksi secara keterlaluan terhadap sesuatu isu yang kita hadapi. Ia menjadikan kita mudah dimanipulasi, diambil kesempatan...itulah persepsi orang lain tentang kita."

Mawan berkata demikian pada majlis pra sambutan Gawai Dayak dan jamuan meraikan kemenangan beliau dan Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang di dewan orang ramai di sini, malam tadi.

Majlis itu dianjurkan bersama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan Persekutuan Wanita Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Pakan.

Mawan, yang juga presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), berkata melalui pengamatan beliau, perkara itu adalah antara kelemahan masyarakat Dayak pada pilihan raya umum baru-baru ini.
"Antara asas utama budaya Dayak ialah sifat saling menghormati antara sesama kita dan terhadap pelawat ke rumah panjang kita.

"Tapi, ketika kempen pilihan raya, saya dapati sesetengah orang mengetepikan perkara itu. Mereka lebih mengutamakan perkara yang dekat di hati masing-masing, walaupun ia hanya merupakan matlamat jangka pendek daripada segi politik dan kepentingan peribadi.

"Oleh itu, saya berharap, generasi muda khususnya, perlu belajar untuk berhati cekal dan berpegang teguh dengan budaya masyarakat mereka.

"Mereka tidak seharusnya mudah terpengeruh oleh pemikiran negatif, sikap saling membenci, mementingkan diri sendiri, bersikap kedaerahan dan mengamalkan politik sempit yang mementingkan kemenangan parti pilihan masing-masing semata-mata," katanya.

Sebagai presiden SDNU, Mawan berharap kesatuan itu akan terus memainkan peranan utamanya untuk menyatupadukan masyarakat Dayak di seluruh negeri ini.

"Kita perlu bersatu dalam semua aspek, termasuk dalam perkara berkaitan perniagaan, keselamatan dan politik. Apabila kita bersatu, kita akan lebih mudah mencapai kemajuan dan kejayaan, terutama untuk saudara mara kita yang tinggal di luar bandar," katanya.

Mawan berkata, beliau gembira kerana SDNU dan SIDS kini menjadi "rakan yang amat karib" dalam memperjuangkan perkara itu, termasuk dalam memelihara hak dan kebajikan masyarakat Dayak.

Pertandingan Ratu Cantik Gawai Pakan adalah acara kemuncak pada majlis itu.

Puan Sri Julia Mawan memahkotakan Angela Nyai Lidi, pelajar berusia 18 tahun dari Ladong sebagai pemenang pertandingan itu.

- BERNAMA

CARIAN

BH LIVE

Twitter

Facebook