Laman Utama » MutakhirSarawak

Masyarakat Dayak sentiasa dapat perhatian kerajaan Pusat

Share |


2011/03/26
KUCHING: Masyarakat Dayak di Sarawak sentiasa mendapat perhatian kerajaan Persekutuan dalam pelbagai program pembangunan sosio ekonomi mereka, kata Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Douglas Uggah Embas.

Katanya, komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet untuk Bumiputera Sabah dan Sarawak yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dianggotai oleh semua menteri-menteri Bumiputera dari kedua-dua negeri terbabit. "Jawatankuasa yang bersidang dua kali setahun ini antara lain meneliti dan mengatur strategi pembangunan bumiputera di Sabah dan Sarawak supaya mereka mendapat manfaat pembangunan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat dwi tahunan Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) di sini hari ini. Selain itu, katanya, satu jawatankuasa teknikal di bawah Jawatankuasa Kabinet turut ditubuhkan untuk memantau pelaksanaan projek-projek terutama pembangunan infrastruktur di pedalaman.

Uggah berkata, jawatankuasa teknikal itu dipengerusikan oleh Menteri Industri Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dan beliau sendiri sebagai timbalan pengerusi.

"Jawatankuasa ini sangat penting memandangkan kita sedang menuju ke tahun 2020, kerajaan mahu memastikan setiap orang mendapat manfaat daripada program yang dilaksanakan," katanya.

Sebagai contoh, katanya, pada Februari, jawatankuasa itu memutuskan bahawa institusi latihan perguruan perlu melonggarkan syarat kemasukan bagi membolehkan lebih ramai Bumiputera dari Sabah dan Sarawak memasukinya.
Uggah berkata, masyarakat Dayak juga mempunyai perwakilan yang ramai di dalam Kabinet, sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan, maka tidak timbul persoalan masyarakat Dayak tidak diwakili dalam BN.

"Dalam BN, Dayak cukup diwakili dan diberi peluang untuk menyuarakan apa-apa masalah yang berkaitan dengan masyarakat tersebut," katanya.

Uggah yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar mengulas kenyataan pemimpin pembangkang dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menjelang pilihan raya Sarawak bulan depan, yang mendakwa mereka mampu mempertahankan kepentingan Dayak.

Sambil menyifatkan kenyataan SNAP sebagai "bermimpi di siang hari" beliau berkata: "BN telah menjaga dan akan terus mengambil berat terhadap semua kaum di Sarawak".

Selain Uggah, seorang lagi pemimpin Dayak dalam Kabinet Persekutuan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Ada lima timbalan menteri dari masyarakat itu iaitu Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang Gandum, Timbalan Menteri Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah Datuk Joseph Entulu Belaun, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Jacob Dungau Sagan, Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat dan Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos. - BERNAMA

Artikel Lain